Projek bekalan air strategik diteruskan walaupun kos meningkat - Kon Yeow

Projek bekalan air strategik diteruskan walaupun kos meningkat – Kon Yeow

PULAU Pinang dijangka meneruskan semua projek bekalan air strategik di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 meskipun terpaksa berdepan cabaran peningkatan kos pembinaan serta operasi akibat ketidaktentuan ekonomi global.-GAMBAR/PBAPP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Semua projek bekalan air strategik di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 akan diteruskan meskipun kerajaan negeri kini berdepan cabaran peningkatan kos pembinaan serta operasi akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek-projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu merupakan keutamaan negeri dan tidak wajar ditangguhkan kerana ia berkait rapat dengan jaminan kestabilan bekalan air kepada rakyat.

“Semua projek tersebut (di bawah Pelan Kontingensi Air 2030) akan diteruskan dan kita juga telah memperoleh pembiayaan melalui sukuk bagi membiayai pelaksanaan projek-projek ini.

“Ini adalah projek strategik untuk memastikan kesinambungan bekalan air negeri. Jadi, dalam keadaan semasa, ia perlu diteruskan tanpa sebarang penangguhan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lee Boon Heng (PH–Kebun Bunga) berhubung kesan peningkatan kos operasi PBAPP susulan tekanan ekonomi global ketika ini.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah mengambil langkah menangguhkan beberapa projek sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan bagi memberi ruang kepada kontraktor menilai semula kesan kenaikan kos semasa.

Katanya, PDC juga bersetuju secara dasar untuk berkongsi peningkatan kos projek dengan kontraktor melalui mekanisme perkongsian kos operasi.

“Dalam hal ini, kerajaan negeri turut terkesan dengan peningkatan kos, termasuk kenaikan harga diesel yang memberi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang dianggarkan menanggung tambahan kira-kira RM5 juta kos operasi akibat kenaikan tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri belum berupaya untuk menyediakan pakej rangsangan ekonomi sendiri ketika ini kerana turut terkesan dengan keadaan ekonomi semasa.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan Persekutuan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk sokongan pembiayaan melalui institusi perbankan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menghadapi tekanan aliran tunai serta peningkatan kos operasi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN