GEORGE TOWN : Selepas hampir empat tahun, Empangan Air Itam kini kembali mencapai tahap hampir penuh dengan kapasiti efektif direkodkan pada paras 99.4 peratus sejak kelmarin dan semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, catatan ini merupakan paras tertinggi sejak 2 Disember 2021 apabila kapasiti empangan tersebut berada pada 93.4 peratus.
“Peningkatan mendadak paras air di empangan itu didorong oleh hujan lebat berterusan di kawasan tadahan air (KTA) tersebut sejak awal bulan lepas.
“PBAPP juga telah merekodkan jumlah taburan hujan sebanyak 526.5 milimeter (mm) di kawasan tadahan antara 1 September hingga 27 Oktober 2025,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika ini, PBAPP sedang memaksimumkan pelepasan air mentah dari empangan ke Loji Rawatan Air Air Itam bagi menampung pengeluaran air terawat kepada pengguna.
“Pelepasan harian akan ditingkatkan daripada kadar biasa 22 juta liter sehari (JLH) kepada maksimum 65 JLH apabila diperlukan,” jelasnya.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan lebihan air empangan mengalir keluar ke laut serta memastikan sumber air dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk kegunaan domestik.
“PBAPP tidak akan melepaskan air ketika ribut atau hujan lebat apabila paras laut tinggi bagi meminimumkan risiko banjir di kawasan rendah sekitar empangan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Empangan Air Itam masih ditutup sementara kepada orang awam berikutan kejadian tanah runtuh akibat ribut baru-baru ini dan hanya akan dibuka semula selepas keadaan pulih sepenuhnya.
“Apapun, semua empangan utama di Pulau Pinang ketika ini berada pada tahap yang selesa hasil taburan hujan yang tinggi sejak dua bulan lalu,” ujar beliau.-UTUSAN










