PBAPP larang aktiviti memancing secara haram di kawasan empangan

PBAPP larang aktiviti memancing secara haram di kawasan empangan

EMPANGAN Bukit Panchor dan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor terletak di daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di Pulau Pinang.-GAMBAR/PBAPP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Individu yang dikesan memancing secara haram di mana-mana empangan air mentah milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) boleh ditahan oleh anggota polis bantuan yang bertugas.

Selain itu, mereka yang didapati menceroboh kawasan larangan sama ada di dalam atau berhampiran kemudahan milik PBAPP juga berdepan kemungkinan yang sama iaitu ditahan oleh pihak berkuasa perbadanan tersebut.

Peringatan itu diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. K. Pathmanathan selepas pihaknya berjaya mengesan satu aktiviti memancing yang dilakukan secara haram di Empangan Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan (SPS) baru-baru ini.

Pathmanathan berkata, bagaimanapun, belum ada mana-mana individu yang telah dikenal pasti atau ditahan susulan kejadian tersebut, buat masa ini.

“Mengikut peruntukan Undang-Undang Negeri Pulau Pinang, aktiviti memancing adalah tidak dibenarkan di kawasan tadahan air (KTA) seluas 62.9 kilometer persegi termasuk di permukaan air empangan, terusan dan muka sauk.

“Susulan kejadian itu juga, polis bantuan PBAPP kini memperketat kawalan keselamatan di kawasan Bukit Panchor serta mengambil beberapa langkah tambahan seperti meningkatkan pemantauan dan rondaan di dalam serta di sekitar kemudahan bekalan air PBAPP tersebut,” katanya.

Untuk rekod, Empangan Bukit Panchor merupakan empangan terkecil di Pulau Pinang dan ia tidak dibuka kepada orang awam serta terletak dalam kawasan larangan.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, KTA adalah kawasan yang ‘dilindungi’ oleh Perintah Pembekalan Air (Kawasan Tadahan Air) 2009 iaitu di bawah Enakmen Pembekalan Air Pulau Pinang 2004 yang mengehadkan aktiviti rekreasi mesra alam kepada kawasan di hilir (downstream) daripada lokasi muka sauk air mentah di KTA Pulau Pinang.

“Dalam hal ini, KTA termasuk permukaan air empangan berfungsi menakung air hujan untuk tujuan penyimpanan. Oleh itu, aktiviti memancing hanya dibenarkan di kawasan ‘bawah’ atau ‘selepas’ empangan,” katanya yang memberitahu, rasional utama larangan aktiviti memancing diperkenalkan ialah bagi meminimumkan risiko pencemaran atau kontaminasi air empangan.

Sementara itu, beliau turut memohon kerjasama daripada semua pengunjung untuk melaporkan sebarang aktiviti luar biasa di kawasan empangan termasuk aktiviti seperti memancing, berenang, mandi, merendam kaki atau sebarang bentuk pencerobohan berbahaya di dalam atau berhampiran permukaan air empangan.

“Sekiranya boleh, gunakan telefon bimbit untuk merakam gambar atau video sekiranya anda ternampak sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan empangan. Sila kongsikan gambar atau video tersebut kepada anggota Polis Bantuan PBAPP di pondok keselamatan terdekat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN