BATU KAWAN : Kerja-kerja pemulihan semula projek desalinasi atau penyahgaraman di Pulau Aman atau PADP untuk menghasilkan 0.24 juta liter sehari (MLD) air terawat kepada penduduk di pulau itu kini sedang giat dilakukan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Dengan unjuran kos yang mencecah kira-kira RM3.81 juta, projek tersebut dijangka siap menjelang pertengahan tahun hadapan memandangkan status kerja-kerja pemajuan ketika ini sudah melebihi 26 peratus.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, PADP telah bermula sejak 10 tahun lalu dan menggunakan air mentah untuk dinyahgaramkan di loji berkenaan. Namun katanya, air terawat yang dihasilkan ketika itu tidak memenuhi piawaian kesihatan yang ditetapkan.
“Maka, disebabkan itu juga, PADP terbiar selama beberapa tahun sehinggalah kita memulakan usaha kedua iaitu selepas kita yakin dengan cadangan daripada perunding (untuk memulihkan PADP).
“Jadi, dengan adanya usaha pemulihan seperti ini, diharapkan loji penyahgaraman ini dapat beroperasi seperti biasa pada tempoh ditetapkan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke loji tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP iaitu Datuk Ir. K. Pathmanathan, hari ini.
Dalam pada itu, Pathmanathan ketika ditemui pemberita memaklumkan, kos pengoperasian loji penyahgaraman itu khususnya untuk memproses air mentah menjadi air terawat adalah 10 kali ganda berbanding kos konvensional.
“Bagaimanapun, PBAPP akan menanggung semua kos berkenaan tanpa mengubah tarif yang ditetapkan untuk penduduk di Pulau Aman,” katanya yang turut menggesa agar para pengguna terus menggunakan air secara berhemah.-UTUSAN










