GEORGE TOWN: Pembangunan pesat Pulau Pinang tidak akan mengorbankan identiti warisan khususnya di kawasan sensitif seperti Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town, dengan kedua-duanya boleh bergerak seiring melalui tadbir urus dan perancangan yang mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, status warisan yang diperoleh sama ada di peringkat negeri, negara atau antarabangsa memberi nilai tambah besar kepada sektor pelancongan kerana mampu menarik pelawat meneroka keunikan sejarah, budaya dan alam sekitar negeri ini.
Menurut beliau, bagi memastikan keaslian kawasan warisan terus terpelihara, kerajaan negeri menyediakan pelan pengurusan komprehensif termasuk Rancangan Kawasan Khas bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO Georgetown dan Penang Hill Biosphere Reserve (PHBR).
“Pelan ini menjadi garis panduan utama dalam memastikan pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan kawasan warisan dilaksanakan secara sistematik, terancang dan lestari tanpa menjejaskan nilai keaslian serta kepentingan sejarahnya,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.
Hon Wai (PH-Paya Terubong) menjawab soalan A. Kumaresan (PH-Batu Uban) mengenai bagaimana kerajaan negeri memanfaatkan warisan sebagai aset pelancongan tanpa menjejaskan keaslian dan nilai sejarah.
Mengulas isu bangunan warisan terbiar atau rosak, Hon Wai berkata, sebanyak 99 peratus bangunan warisan dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dimiliki pihak persendirian dan berdepan pelbagai kekangan termasuk tuntutan harta pusaka bertindih, ketiadaan waris serta kos pemuliharaan yang tinggi.
Katanya, berdasarkan inventori bangunan usang yang dijalankan oleh George Town World Heritage Incorporated pada 2023, sebanyak 11 bangunan dikenal pasti dalam keadaan bahaya dan berpotensi mendatangkan kacau ganggu, manakala 120 bangunan lagi berada dalam keadaan usang.
Beliau berkata, sebagai langkah membantu pemilik bangunan warisan, GTWHI turut melaksanakan projek Insentif untuk Pembaikan Bangunan Warisan Kategori I dan II pada tahun lalu.
Menurutnya, sebanyak 52 bangunan warisan Kategori I dan 300 bangunan warisan Kategori II menerima manfaat menerusi kerja pembaikan melibatkan fasad bangunan, bumbung, dinding, pendawaian elektrik, sistem perparitan, rawatan anai-anai serta pemulihan elemen warisan seperti pintu, tingkap dan ukiran.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut memberi jaminan setiap cadangan pembangunan di kawasan sensitif akan melalui proses semakan profesional yang telus bagi memastikan reka bentuk moden kekal harmoni dengan seni bina warisan sedia ada. – UTUSAN










