GEORGE TOWN : Isu pencemaran yang berlaku di Sungai Kereh termasuk di Kampung Selamat, Tasek Gelugor ketika ini tidak tertumpu kepada aktiviti penternakan babi semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, sebaliknya, faktor lain seperti aktiviti pertanian, pelepasan sisa, sistem perparitan serta aspek persekitaran juga dikenal pasti sebagai antara penyumbang kepada pencemaran itu.
Menurut beliau, berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, sebanyak tujuh aduan berkaitan pencemaran air dan bau busuk di Sungai Kereh telah diterima sepanjang tempoh antara 2024 hingga 2026.
“Bagi setiap aduan yang diterima pula, siasatan lapangan dilaksanakan termasuk pemeriksaan lokasi serta pensampelan air sebelum sampel itu dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia Pulau Pinang untuk analisis lanjut.
“Pemeriksaan turut mendapati, terdapat kawasan parit yang dipenuhi rumput air sehingga menyebabkan aliran menjadi perlahan dan berpotensi menyumbang kepada masalah bau busuk,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Mooi Lye (PH-Jawi) berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Mohd. Sobri Saleh (PN-Permatang Berangan) berhubung jumlah aduan pencemaran di Sungai Kereh serta tindakan yang diambil kerajaan negeri ketika ini.
Mooi Lye berkata, pemantauan kualiti air Sungai Kereh dibuat menerusi Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar yang melibatkan tiga stesen pengawasan manual serta satu stesen di Sungai Air Melintas dan berdasarkan data Indeks Kualiti Air (IKA), Sungai Kereh direkodkan berada pada tahap tercemar hingga sederhana tercemar.
“Walaupun tindakan penguatkuasaan dijalankan secara berterusan, pencemaran tidak boleh dikaitkan dengan sektor industri sahaja kerana ia turut membabitkan pasar, ladang ternakan dan aktiviti pertanian lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, statistik penguatkuasaan JAS menunjukkan, kadar premis tidak patuh menurun kepada 43 peratus pada 2025 berbanding 48 peratus pada tahun sebelumnya sekali gus membuktikan bahawa tindakan penguatkuasaan memberi kesan yang positif.
Menurutnya, satu mesyuarat khas juga telah diadakan pada 23 April lalu melibatkan pelbagai agensi termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan yang terlibat bagi membincangkan penyelesaian isu pencemaran di Sungai Kereh.
“Antara cadangan yang sedang dirancang ialah memindahkan sisa najis khinzir ke Stesen Pemindahan Ampang Jajar (SPAJ) untuk diproses melalui sistem ‘anaerobic digestion’ bagi menghasilkan gas metana sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui,” katanya.-UTUSAN










