PETALING JAYA: Tindakan pengguna Facebook ‘Huayan The Pureland Learning Center’ yang didakwa memuat naik suntingan gambar menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah berkait isu penternakan babi di Selangor disifatkan sebagai provokasi tidak bertanggungjawab dan biadab malah satu penghinaan serius terhadap institusi Diraja.
Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor dalam kenyataan menerusi Selangor Royal Office berkata, perbuatan berkenaan bukan sekadar isu sensitiviti institusi diraja, sebaliknya merupakan penghinaan terhadap Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara.
“Tindakan provokasi yang dilihat tidak bertanggungjawab dan biadap ini adalah satu penghinaan yang amat serius kepada institusi Diraja yang boleh menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.
“Ini bukan sekadar isu sensitiviti yang melibatkan institusi Diraja tetapi merupakan satu bentuk penghinaan yang serius terhadap Raja-Raja Melayu yang selama ini menjadi payung kepada kestabilan dan keharmonian negara.
“Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor sentiasa mengambil berat dan memandang serius ke atas isu yang melibatkan penghinaan di negeri Selangor,” katanya.
Menurutnya, tindakan tegas juga perlu diambil oleh pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan mereka yang tidak bertanggungjawab ini diambil tindakan sewajarnya.
Jelasnya, Kementerian Komunikasi perlu memainkan peranan penting dalam memastikan pengguna media sosial sentiasa beretika dan bertanggungjawab dalam memuat naik sesuatu hantaran di media sosial.
“Ini termasuk mempergiatkan usaha bagi menyedarkan masyarakat tentang penggunaan media sosial secara berhemah dan berintegriti.
“Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini,” katanya.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M.Kumar berkata, polis sudah mengenal pasti pemilik akaun Facebook dan siasatan terhadap individu berkenaan sedang dijalankan, termasuk tindakan merampas peranti yang digunakan untuk membuat hantaran berkenaan.
Kumar dilaporkan berkata, sebanyak 21 laporan polis diterima dan 21 saksi dipanggil serta dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- UTUSAN










