Hina Sultan Selangor, polis terima 280 laporan

Hina Sultan Selangor, polis terima 280 laporan

Hina Sultan Selangor
SHAZELI KAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menerima 280 laporan polis sehingga semalam daripada pelbagai pihak berhubung penyebaran hantaran gambar yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam media sosial sejak 25 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazli Kahar berkata, siasatan dijalankan di bawah rujukan Bandar Kinrara dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

“Laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak yang mengecam tindakan provokasi melampau tersebut.

“Fokus utama siasatan yang sedang giat dijalankan oleh polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah untuk mengesan serta menangkap pelaku yang bertanggungjawab dalam mencemar kedaulatan institusi diraja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor yang dimuat naik dalam Facebook, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 7.10 malam tadi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Bulan lalu, tular hantaran sekeping gambar seekor babi digambarkan dalam sepersalinan berwarna kuning dan tanjak ‘solek balung raja’ dengan niat menghina Sultan Selangor.

Jelas Shazeli, orang ramai dinasihat supaya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada polis dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan kes.

“Sebarang perkembangan lanjut akan di maklum berdasarkan keperluan semasa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN