Noktah terhadap hasutan: Pertahan prerogatif Sultan Selangor

Noktah terhadap hasutan: Pertahan prerogatif Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENYATAAN provokatif yang dilemparkan oleh bekas pemimpin politik, Ronnie Liu, terhadap titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor baru-baru ini bukan sekadar polemik politik biasa, melainkan satu serangan langsung terhadap sistem perlembagaan dan kedaulatan negeri.

Dengan menyifatkan titah full stop (noktah) daripada Istana Selangor sebagai satu “ujian keberanian” bagi pemimpin kerajaan, beliau sebenarnya sedang mempamerkan kedangkalan dalam memahami struktur asas perlembagaan dan kedudukan kedaulatan Sultan sebagai punca autoriti negeri.

Di bawah kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor, perlu ditegaskan bahawa ketiga-tiga cabang kerajaan, iaitu eksekutif, legislatif (perundangan) dan kehakiman memperoleh punca kuasa dan keabsahan mereka daripada kedaulatan Sultan. Kedaulatan Sultan Selangor bukanlah simbolik.

Kedaulatan itu juga tidak neutral tetapi bersifat sebagai pemegang amanah Allah SWT seperti mengikut adat Melayu yang diwarisi turun menurun. Segala fungsi pemerintahan yang dijalankan oleh pihak berkuasa negeri adalah atas nama DYMM Sultan Selangor.

Oleh itu, pelaksana fungsi kuasa Sultan, sama ada di peringkat Menteri Besar, exco mahupun penjawat awam, tidak mempunyai keabsahan dari sudut perlembagaan untuk lari daripada prinsip kedaulatan Baginda.

Kedudukan Baginda sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipisahkan daripada pentadbiran sekular negeri. Hal ini kerana autoriti yang didelegasikan kepada badan eksekutif mestilah sentiasa mencerminkan kewajipan dan peranan Sultan sebagai pemegang amanah Allah SWT kerana itu struktur asas perlembagaan negeri.

Sering kali wujud salah faham bahawa sistem Raja Berperlembagaan bermaksud Sultan wajib mengikut nasihat badan eksekutif secara mutlak tanpa soal.

Realitinya, doktrin nasihat di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor adalah tertakluk sepenuhnya kepada keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang berpaksikan kepada prinsip patuh syariah selaras dengan kedudukan Sultan Selangor sebagai pemegang amanah.

Doktrin nasihat di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor bukanlah “cek kosong”. Ia mempunyai batasan perlembagaan yang jelas.

Sekiranya nasihat yang diberikan bertentangan dengan kewajipan Sultan untuk memelihara agama Islam, keluhuran perlembagaan dan keadilan, Baginda mempunyai tanggungjawab perlembagaan untuk memberikan nasihat balas, teguran, malah mengeluarkan titah yang bersifat tegahan.

Ringkasnya, objektif nasihat eksekutif adalah untuk melaksanakan kewajipan Sultan Selangor di bawah undang-undang perlembagaan.

Dalam isu sensitif seperti penternakan babi, titah Sultan merupakan satu manifestasi tanggungjawab Baginda untuk memastikan dasar dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak menggugat kerukunan masyarakat, kesihatan rakyat serta kesucian agama negeri.

Isu dan cara ia dibangkitkan oleh Ronnie Liu juga gagal mengambil kira prerogatif dan adat tempatan yang merupakan prinsip perundangan.

Selangor bukanlah sebuah negeri kosong tanpa identiti; ia mempunyai adat, adab, tradisi dan norma tempatan yang bersendikan ajaran agama Islam dan adat Melayu.

Apabila Sultan Selangor mengeluarkan titah berkaitan kawalan aktiviti penternakan babi, ia merupakan prerogatif Baginda untuk menghormati sensitiviti majoriti rakyat yang beragama Islam, pemuliharaan alam sekitar, kebersihan awam dan keutamaan negeri.

Baginda tidak menafikan hak bukan Islam untuk memakan daging babi, malah memberi jalan penyelesaian melalui import.

Sultan mempunyai prerogatif untuk menasihati pihak yang melaksanakan fungsi kuasa Baginda dalam penggubalan dasar negeri. Dalam pada itu, bagaimana cara ia disempurnakan terpulanglah kepada tadbir urus pihak berkuasa masing-masing.

Doktrin keadaan tempatan turut menuntut semua pihak menghormati agama negeri dan majoriti penduduknya. Kenyataan terbuka yang menyanggah titah diraja boleh disifatkan satu hasutan untuk tidak bersetia malah membawa kebencian kepada raja pemerintah.

Setiap rakyat negeri, warga negara Malaysia dan bukan yang mendiami negeri Selangor, hendaklah sentiasa menunjukkan hormat kepada titah Sultan.

Hasutan untuk ingkar titah Sultan, bahkan mencabar keabsahannya secara terbuka, apalagi dengan membuat pernyataan, “This will be a real test of the courage and wisdom of the DAP/PH government” dan “it’s also detrimental to the reputation and image of the nation”, adalah cukup biadap serta derhaka.

Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan perisai untuk melakukan apa jua bentuk penderhakaan, hasutan dan kebiadapan. Dalam konteks Selangor, kesetiaan kepada Sultan ialah nilai etika yang sentiasa dipelihara selama ini.

Mereka yang cuba memprovokasi titah Baginda sebenarnya sedang mencabar syarat kewujudan mereka sebagai rakyat dalam sebuah negeri berdaulat.

Dua pernyataan tersebut mempunyai implikasi undang-undang yang amat serius di bawah Akta Hasutan 1948 dan bagi kesalahan khusus terhadap orang Islam pula, termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah negeri.

Pihak berkuasa tidak boleh membiarkan “virus hasutan” yang berbaur penderhakaan ini menular atas nama kebebasan politik dan hak asasi manusia. Tindakan mencabar prerogatif Sultan bukan sahaja menghina peribadi Baginda, tetapi meruntuhkan punca autoriti kerajaan itu sendiri.

Siasatan dan pendakwaan yang tegas oleh pihak berkuasa mestilah dilaksanakan bagi memberi pengajaran bahawa kedaulatan Sultan Selangor adalah sempadan merah yang tidak boleh dicerobohi.

Kerajaan Negeri juga mestilah berdiri teguh mempertahankan punca kuasa mereka, bukan sekadar membisu apabila punca autoriti mereka diperlekehkan.

Titah Sultan Selangor ialah “noktah” yang menamatkan segala pertikaian. Ia lahir daripada kebijaksanaan seorang pemerintah yang memegang amanah Ilahi untuk memutuskan maslahah semua rakyat Baginda tanpa mengira kaum dan agama, namun tetap berpasak pada prinsip Islam dan adat Selangor.

Segala cabang pentadbiran mestilah kembali kepada prinsip asal bahawa mereka berfungsi sebagai wakil Sultan. Jangan ada mana-mana pihak yang cuba berlagak menjadi “tuan besar” sehingga berani mencabar institusi berdaulat yang dipelihara oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.

Daulat Tuanku! Selangor Tetap Berdaulat! – UTUSAN

DATUK Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain ialah Pengasas Jurisprudens Watan & Fiqh Al-Watan, ISTAC-Universiti Islam Antarabangsa Malaysia/ Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN