PETALING JAYA: Cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Kembangan, Wong Siew Ki agar penerokaan semula sistem penternakan babi moden dan tertutup di negeri ini disifatkan sebagai biadap serta mencerminkan sikap tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.
Pemangku Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Borhan Ahmad Zakaria berkata, titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah jelas berhubung isu penternakan haiwan tersebut, maka tidak perlu ia diungkit lagi oleh mana-mana pihak.
Katanya, isu ini bukan berkaitan penggunaan teknologi semata-mata, sebaliknya melibatkan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sebelum ini jelas tidak membenarkan lagi aktiviti penternakan babi di negeri Selangor.
“Perkasa ingin menegaskan keputusan yang sudah dibuat oleh kerajaan negeri untuk tidak lagi mengeluarkan lesen baharu, menutup ladang sedia ada secara berperingkat serta memenuhi keperluan bekalan melalui import sepenuhnya perlulah difahami dan dipatuhi semua pihak.
“Perkasa menegaskan titah Sultan Selangor agar bekalan babi dibawa dari luar segera dipatuhi sepenuhnya tanpa syarat dan tanpa dakwa-dakwi lagi hingga mencetuskan perdebatan terhadap isu yang telah dianggap selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki memohon pertimbangan supaya penternakan babi dibenarkan di Selangor.
Menurut Siew Ki dari DAP, penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain kerana haiwan lain juga menghasilkan risiko pencemaran dan kesihatan yang sama. – UTUSAN







