HULU SELANGOR: Kerajaan digesa supaya bersikap adil terhadap pematuhan undang-undang termasuk berhubung ketaatan kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang merupakan pengerusi dalam Lembaga Pengampunan.
Ini kerana, kerajaan dilihat berdiam diri dan enggan melaksanakan titah Seri Paduka yang didakwa seperti dalam addendum yang dikatakan wujud terhadap pengampunan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak oleh Lembaga Pengampunan.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kerajaan sepatutnya maklum dan segera menjelaskan terutama di dalam Dewan Rakyat apabila perkara berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong termasuk berkaitan Lembaga Pengampunan dijawab.
“Kalau ini berkaitan dengan kerajaan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah bangkitkan dalam Parlimen. Ini disebelah saya semua pernah jadi menteri, waktu dalam Parlimen, semua pegawai kerajaan wajib datang, dengar apa ahli parlimen cakap, catat dan beritahu kepada menteri. Kita jawab setiap isu yang dibangkit.
“Bila Ismail Sabri tanya (addendum Lembaga Pengampunan) dalam Parlimen tak jawab, saya tunggu juga. Hendak kata menteri undang-undang tak jawab, menteri KDN tak jawab, Perdana Menteri kata dia pun tak berapa hendak tahu, surat tulis, itu dalam Parlimen.
“Peguam Najib, hantar surat pun tak dijawab. Eh, kata tatakelola! Kalau surat hantar kepada menteri, menteri tak jawab, ini kerajaan apa? kerajaan kongkalikong?,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, malam tadi.
Malah, beliau turut mempersoalkan sikap dan tatakelola kerajaan pada hari ini didakwa hanya taat pada titah Yang di-Pertuan Agong apabila ia mempunyai kaitan dengan kepentingan mereka.
“Kes Najib, addendum. Itu arahan (titah) Agong, betul tak betul itu soal kedua, saya tak tahu betul ke tidak, tetapi kalau tengok afidavit Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), macam betul, dia kata boleh tengok. Saya rasa itu mungkin betul atau tak betul.
“Soalnya kita kena tunggu, kalau betul ada, mengapa kerajaan ini tak hormat, tak laksanakan titah Yang di-Pertuan Agong.
“Amboi, kalau dahulu hendak tubuhkan kerajaan, ini titah, ini Kerajaan Yang di-Pertuan Agong…untuk kepentingan dia. Bila (tiba) perintah addendum itu kenapa diam? Jadi, ini kata tatakelola, saya hendak ulang lagi tatakelola apa?” soalnya.
Dalam pada itu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang turut mendakwa kerajaan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan membiarkan pihak mencabar titah addendum tersebut yang didakwa tidak pernah berlaku.
“Bila kita tak menghormati perlembagaan kita, itu kuasa raja saya rasa sedih juga hari ini ada pihak tertentu cabar keputusan Lembaga Pengampunan dekat mahkamah, tak pernah berlaku.
“Itu kuasa raja, hak dia, kenapa hendak dicabar. Apabila kerajaan tak serupa bikin, ikut sesuka hati, akhirnya bukan sahaja rakyat menderita, tetapi pentadbiran negara kita akan jadi kelam-kabut,” tegasnya. – UTUSAN









