REMBAU: Dua lelaki melecur di badan dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Seri Kendong Kota di sini, pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Tinggi, Zaini Saleh berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 7.50 pagi.
Menurutnya, jentera tiba di lokasi tujuh minit selepas menerima panggilan dan dua pasukan dari BBP Rembau serta Tampin turut dikejarkan ke lokasi bagi membantu memadamkan kebakaran.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah separuh kekal yang musnah kira-kira 80 peratus.
“Dua lelaki Melayu cedera dalam kejadian itu. Seorang mangsa melecur 10 peratus di tangan dan seorang lagi melecur di muka lebih kurang 30 peratus.
“Mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dihantar ke hospital Tampin menaiki jentera EMRS BBP Tampin,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Zaini berkata, turut terbakar dua buah kenderaan iaitu bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4×4) Mitsubishi Triton yang musnah lebih kurang 5 peratus dan sebuah Honda Civic musnah lebih kurang 30 peratus.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.23 pagi ini. – UTUSAN










