Kemas16, POP25 strategi PKR hadapi PRU16

Kemas16, POP25 strategi PKR hadapi PRU16

PKR PRU16
ANWAR Ibrahim bersama barisan kepemimpinan parti dan para perwakilan yang hadir pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: PKR melancarkan strategi baharu ke arah mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) melalui dua kerangka iaitu Keadilan Menang PRU16 (Kemas16) dan Pemerkasaan Organisasi Parti 25 (POP25).

Kerangka tersebut dibina sebagai usaha memastikan PKR terus mentadbir negara selain menentukan parti terus relevan untuk 25 tahun akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua lapisan kepemimpinan sama ada di peringkat pusat, negeri, cabang dan ranting perlu bergerak aktif dan memantau pergerakan jentera parti secara dekat.

“Kalau kita ada Kemas16 dan POP25, langkah berikutnya adalah melaksanakan kata-kata, ranting mesti hidup, cabang mesti segar, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) mesti aktif.

“Selain daripada pimpinan yang dipilih, kita ada jentera politik dan beberapa teman untuk membantu jentera yang ada supaya dapat beri maklumat dan pantau secara dekat baik di peringkat negeri, cabang dan ranting. Sungguh-sungguh perkuat jentera kita supaya PKR muncul sebagai gergasi.

“Saudara tahu hebat mana pun laungan kita, tetapi kalau tidak disusun dengan rapi dan jentera yang kemas kita akan tewas dengan orang yang melaungkan hidup melayu dan slogan Islam,” katanya ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun PKR, semalam.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menyampaikan resolusi konvensyen yang menekankan dua perkara iaitu Kemas16 dan POP25 akan dilancarkan di konvensyen di setiap negeri.

Resolusi itu turut menyatakan pelaksanaan KEMAS16 dan POP25 seterusnya dilaksanakan di peringkat cabang sepanjang 2024 dan 2025.

Rafizi berkata, pelan berkenaan akan mengubah PKR tidak hanya sebagai parti politik semata-mata tetapi sebagai organisasi khidmat sosial dan kebajikan berorientasi perusahaan sosial.

“20 tahun lalu, kita ada pelbagai kemahiran seperti demonstrasi, kemahiran berceramah dan kemahiran menggunakan media alternatif. Ini kekuatan yang kita bina dan sekarang digunakan pihak lawan.

“Sebab itu parti akan melancarkan dua kerangka baharu. Kedua-duanya bertujuan untuk kita kukuhkan kembali kekuatan dari akar umbi sehingga ke atas,” ujarnya.

Tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi, PKR adalah lebih besar daripada hanya sebuah parti politik semata-mata dan perkara itu merupakan kekuatan parti dalam menghadapi setiap cabaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN