BESUT: Penduduk terkejut apabila terdapat dakwaan segelintir pengikut ajaran sesat ‘Ayah Pin’ cuba menghidupkan semula ajaran sesat tersebut yang diharamkan sejak 1997.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu 13, Ab. Ghani Mamat berkata, difahamkan tidak terdapat kegiatan mencurigakan ahli keluarga dan pengikut ajaran sesat tersebut selepas kematian Ayah Pin atau nama penuhnya, Ariffin Mohammed pada tahun 2016.
Malah, menurutnya, kebanyakan ahli keluarga dan pengikut Ayah Pin tersebut yang tinggal di sebuah penempatan di Kampung Bukit Kemiyung, Batu 13 di sini juga menjalani kehidupan mereka seperti biasa dalam masyarakat kampung.
Katanya, mereka yang bekerja sebagai penoreh getah dan tukang rumah tidak ketinggalan menghadiri majlis kenduri atau keramaian di kampung ini.
“Walaupun mereka mengasingkan diri tinggal di sebuah kawasan penempatan yang berpagar, namun kegiatan mereka seperti biasa termasuk menghantar anak ke sekolah.
“Bagaimanapun, saya tidak mengetahui sekiranya terdapat usaha menggerakkan semula ajaran sesat tersebut dalam kalangan mereka secara dalam diam-diam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pada masa ini, seramai 124 penduduk daripada 40 keluarga tinggal di penempatan tersebut yang mempunyai kira-kira 34 buah rumah tersebut sebuah kedai runcit.
Penempatan tersebut juga terdapat kawasan tanah perkuburan yang menempatkan kubur Ayan Pin dan beberapa ahli keluarganya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati pintu pagar penempatan yang dahulunya merupakan markas ajaran Ayah Pin ditutup bagi mengelak dicerobohi orang luar.
Ab. Ghani memberitahu, setakat ini, beliau sukar untuk mengesahkan kewujudan gerakan menghidupkan semula ajaran Ayah Pin kerana tidak mendapat sebarang maklumat mengenai aktiviti tersebut.
“Sebab itu, pengumuman Pejabat Agama Islam Besut mengenai amaran penyebaran semula ajaran Ayah Pin pada solat Jumaat baru-baru ini amat mengejutkan kami penduduk kampung,” katanya.
Pada Ahad lalu media melaporkan terdapat dakwaan bekas pengikut Ayah Pin untuk menghidupkan semula ajaran sesat tersebut daerah Besut sehingga menimbulkan kebimbangan umat Islam di Terengganu.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang individu dipercayai seorang pegawai masjid yang menggunakan nama Imam Muda Kulan di laman Facebooknya, kelmarin.
Melalui perkongsian di Facebook itu, Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat mendedahkan maklumat terdapat usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat itu dalam kalangan pengikutnya. – UTUSAM










