KUALA TERENGGANU: Dakwaan seorang individu terdapat percubaan untuk menghidupkan semula ajaran sesat ‘Ayah Pin’ atau ‘Kerajaan Langit’ di daerah Besut menimbulkan kebimbangan umat Islam di Terengganu.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang individu dipercayai seorang pegawai masjid yang menggunakan nama Imam Muda Kulan di laman Facebooknya, semalam.
Melalui perkongsian di Facebook itu, Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat mendedahkan maklumat terdapat usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat itu dalam kalangan pengikutnya.
“Ajaran Ayah Pin yang diwartakan sesat oleh kerajaan Terengganu pada 1997, kini didapati ada gerakan untuk dikembangkan semula di daerah Besut,” tulisnya di Facebook, semalam.
Status yang dimuat naik oleh Tengku Azlan yang bertugas sebagai imam di Masjid Gong Pasir, Besut itu sehingga kini telah menerima 76 komen dan dikongsi 92 pengguna Facebook yang lain.
Hantaran itu menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet yang bimbang jika ajaran tersebut dapat mempengaruhi umat Islam dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan yang pantas untuk menghalang usaha tersebut.
Terdapat juga komen yang mengaitkan gerakan tersebut sebagai usaha mewujudkan semula ajaran sesat Ayah Pin 2.0 dan mendedahkan banyak ajaran sesat tersebar di media sosial ketika ini.
Bagaimanapun, ada warganet yang meninggalkan komen perkara tersebut dalam makluman pihak berkuasa dan pengumuman mengenainya telah dibuat di peringkat masjid-masjid di daerah tersebut.
Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan diwartakan haram pada 1997.
Pada April 2005, Pejabat Tanah Daerah Besut mengeluarkan notis merobohkan beberapa premis dan replika gergasi di markas Ayah Pin di perkampungan berkenaan.
Pemimpin ajaran sesat, Ariffin Muhamad, 74 atau Ayah Pin telah meninggal dunia di rumahnya di Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut kerana sakit tua.
Bagaimanapun, sehingga kini, masih terdapat saki baki pengikutnya yang setia dan berusaha untuk menghidupkan semula ajaran tersebut. – UTUSAN










