SALAH satu imej global yang berjaya merakam sentimen kasih sayang dan keberanian seorang bapa adalah gambar seorang bapa yang sedang melindungi anaknya Muhammad Al-Durrah yang berusia 12 tahun di Saladin Road, selatan Bandar Gaza. Muhammad Al-Durrah yang dalam ketakutan dan sedang menangis dilihat berlindung di belakang badan bapanya ketika kejadian tembak-menembak berlaku.
Walaupun gambar ini direkodkan sekitar September 2000, ia tetap meruntun hati setiap orang yang menyaksikannya. Kisah ini diceritakan sendiri oleh jurukamera Abu Rahma yang merakam kisah menyayat hati ini 24 tahun lalu. Imej ini memberikan dua mesej yang sangat berharga iaitu berkenaan dengan kerakusan rejim zionis terhadap orang awam terutama kanak-kanak dan juga berkaitan kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya.
Peranan seorang bapa baik dalam aspek perundangan atau semula jadi adalah sebagai pelindung kepada anak-anak mereka. Tanggungjawab yang dimainkan oleh bapa sangat signifikan dalam sesebuah institusi kekeluargaan memandangkan kanak-kanak pada asasnya tidak mampu untuk mempertahankan diri mereka bersendirian dan bergantungan terhadap perlindungan bapa mereka. Secara idealnya, seorang bapa diharap berperanan sebagai pembimbing dan pelindung.
Namun, Malaysia juga pernah dikejutkan dengan berita kelakuan ganjil tentang para bapa yang tidak masuk akal. Misalnya, pada Februari tahun ini, sepasang suami isteri dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan penganiayaan anak lelaki mereka yang berusia yang berusia setahun empat bulan yang didapati meminum susu yang bercampur dengan dadah.
Sebelum insiden ini, terdapat juga insiden bapa yang dikatakan telah memberikan bayinya arak di Pulau Pinang yang direkodkan sekitar tahun 2021. Malah tahun yang sama, seorang bapa di Setapak dengan tegar memberikan anaknya yang baru berusia dua tahun rokok elektronik atau vape. Bukankah kesemua tindakan ini membahayakan kesihatan anak-anak mereka untuk masa jangka yang panjang?
Walau bagaimanapun, peristiwa yang dilaporkan ini tidak menggambarkan keseluruhan perilaku bapa-bapa di Malaysia. Kisah-kisah yang menyayat hati tentang kasih sayang seorang bapa terhadap anak-anaknya masih lagi menjadi kisah yang utama dan dilaporkan meluas. Cumanya persoalannya kini adalah mengapakah tragedi yang menyayat hati boleh berlaku dalam masa yang sama undang-undang yang sedia ada telah wujud untuk memberikan perlindungan kepada kanak-kanak?
Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] memberikan perlindungan dan kesan perundangan yang jelas kepada kebajikan kanak-kanak. Misalnya seksyen 31 Akta 611 menjadikan perbuatan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak sebagai satu kesalahan.
Begitu juga seksyen 32 Akta 611 yang jelas menyatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh digunakan untuk mengemis dan seksyen 33 Akta 611 pula menjadikan satu kesalahan jika seseorang membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan.
Tidak cukup dengan itu, Malaysia juga mempunyai Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792]. Akta ini juga tidak kurang pentingnya dalam keadaan semasa memandangkan jenayah seksual terhadap kanak-kanak makin berleluasa terutama jenayah amang seksual terhadap kanak-kanak sebagaimana yang dimaktubkan dalam seksyen 14 dan 15 Akta 792 ini.
Akta ini juga merupakan satu akta yang penting dalam melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa seksual daripada pemangsa yang mungkin terdiri daripada ahli keluarga atau kenalan rapat. Malangnya setakat 2023, terdapat 5,519 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan sejak tahun 2018.
Undang-undang yang ada setakat hari ini dilihat sudah memadai untuk meberikan perlindungan asas. Maka, pendekatan bukan undang-undang pula perlu dalam memberikan kefahaman tentang hak dan tanggungjawab yang perlu dimainkan seorang bapa. Pengabaian kepada tanggungjawab ini akan meruntuhkan nilai kekeluargaan dan seterusnya mengganggu-gugat kestabilan masyarakat.
Kita sedia maklum hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” seperti diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari (No. 1385).
Hak perundangan yang terlibat dengan kanak-kanak harus difahami oleh bapa itu sendiri. Bagi menjalankan tugas bapa sebagai pelindung kepada kanak-kanak, sebarang kompromi yang melibatkan maruah dan trauma kanak-kanak tidak boleh diterima sama sekali.
Misalnya sekiranya kanak-kanak itu mengadu dianiaya secara fizikal ataupun seksual, sebagai bapa yang bertanggungjawab tidak sama sekali boleh mengabaikan aduan sebegini. Tidak boleh sama sekali memberikan apa-apa justifikasi bagi menghalalkan perbuatan penganiayaan itu berlaku kepada kanak-kanak.
Penganiayaan yang berterusan yang berlaku terhadap kanak-kanak oleh seorang bapa sama ada secara sedar atau tidak, harus dihentikan. Fenomena yang menjadikan anak sebagai alat dalam kandungan bodoh di media sosial juga harus dihentikan serta merta. Janganlah sampai dahaga kepada jumlah tontotan, kesejahteraan anak dipertaruhkan.
Tuntasnya, menjadi seorang bapa yang ideal mungkin sukar tetapi menjadi bapa yang bertanggungjawab itu si bapa tidak punyai pilihan. Tanggungjawab mencorak keperibadian dan keyakinan anak itu kekal menjadi peranan utama kepada yang bergelar bapa. – UTUSAN
PENULIS merupakan pengamal undang-undang, Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) dan Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).










