BESUT: Kerajaan Terengganu akan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pengikut ajaran ‘Ayah Pin’ atau ‘Kerajaan Langit’ yang didakwa cuba menghidupkan semula ajaran sesat tersebut setelah diharamkan sejak 1997.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, tindakan itu diambil untuk memastikan ajaran sesat tersebut tidak kembali menular dalam kalangan masyarat di negeri ini.
Menurutnya, pemantauan akan dilakukan pihak polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama agar ajaran sesat itu tidak tersebar secara meluas sehingga merosakan akidah lebih ramai umat Islam selepas ini.
Katanya, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sebelum ini telah mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.
“Kita tidak akan berkompromi dengan pengamal ajaran sesat ini sebagaimana di Selangor menghadapi ajaran Qadiani dan sebagainya.
‘Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dan masyarakat perlu menjauhi daripada terlibat ajaran Ayah Pin yang bercanggah dengan ajaran islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Riduan memberitahu, berdasarkan risikan yang dilakukan pihak berkuasa sebelum ini didapati ajaran sesat itu bukan hanya berlaku di Kampung Batu 13, Hulu Besut malah kini menular ke kawasan Jertih dekat sini serta Pekan dan Rompin di Pahang
Malah, tambahnya, pihak pejabat agama daerah ini juga telah mengeluarkan notis pengumuman tentang ancaman gerakan ajaran Ayah Pin yang cuba dihidupkan semula.
“Ajaran sesat Ayah Pin serius apabila terdapat dalam kalangan pengikut ajaran itu
mengistiharkan murtad di Mahkamah syariah Besut, pada tahun 2005,” ujarnya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan terdapat dakwaan bekas pengikut Ayah Pin untuk menghidupkan semula ajaran sesat tersebut daerah Besut sehingga menimbulkan kebimbangan umat Islam di Terengganu.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang individu dipercayai seorang pegawai masjid yang menggunakan nama Imam Muda Kulan di laman Facebooknya, kelmarin.
Melalui perkongsian di Facebook itu, Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat mendedahkan maklumat terdapat usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat itu dalam kalangan pengikutnya. – UTUSAN










