PETALING JAYA: Pergerakan Pemuda UMNO membuat sekurang-kurangnya 13 laporan polis di seluruh negara semalam berhubung isu kalimah Allah di stoking dan dijual di rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Ketua Pemudanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sehubungan itu pihaknya mendesak kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan pesalahnya dikenakan hukuman paling berat.
“Jika sebelum ini siasatan tidak dapat dijalankan kerana tiada laporan polis dibuat, kini tidak ada lagi alasan mengapa ia tidak boleh dibuat.
“Kami meminta ia disiasat mengikut Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan dan diberikan hukuman yang sekeras-kerasnya agar ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang ingin bermain isu 3R ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Istilah 3R merujuk kepada isu berkaitan raja-raja Melayu, agama dan perkauman.
Sebelum ini, media melaporkan, KK Super Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.
Muhamad Akma berkata, seluruh rakyat sedang menunggu apakah hasil siasatan daripada laporan itu.
Beliau juga menyeru orang ramai agar terus memboikot KK Super Mart di seluruh negara sehinggalah mereka menaikkan kain pemidang memohon maaf di semua 881 cawangannya.
“Saya nak mohon anda semua cuba periksa KK Mart di kawasan anda adakah mereka menaikkan kenyataan mohon maaf di kedai mereka?
“Dan kepada mana-mana individu yang mahu menjadi hero pertahankan isu ini dan minta jangan perbesarkan isu ni, Shame on you sebab tunduk kepada tauke besar!,” katanya. – UTUSAN









