60 cawangan baharu KK Mart termasuk premis kerajaan

60 cawangan baharu KK Mart termasuk premis kerajaan

Chai Kee Kan dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam Majlis Perasmian Kedai Serbaneka KK Mart di IPK KL.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lebih 60 cawangan baharu KK Mart dijangka dibuka di seluruh Malaysia menjelang hujung tahun ini termasuk memperluaskan rangkaian perniagaannya ke lebih banyak premis kerajaan dan fasiliti awam.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif KK Supermart & Store Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan berkata, syarikat kini mengendalikan kira-kira 1,100 cawangan di seluruh negara dan melihat potensi besar untuk menempatkan kedai serbaneka di bangunan kerajaan.

Menurutnya, pembukaan cawangan pertama KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjadi titik permulaan kepada model operasi baharu yang memfokuskan kemudahan kepada penjawat awam dan orang ramai.

“KK Mart sasarkan pembukaan sebanyak 15 hingga 20 cawangan setiap bulan. Kami berharap dapat menambah lebih banyak KK Mart di premis PDRM serta bangunan kerajaan lain. 

“Ketika ini, kami masih dalam proses perbincangan bagi menentukan model yang paling sesuai,” katanya ketika ditemui sempena pembukaan KK Mart IPK Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata, selain universiti, hospital dan hab pengangkutan, premis kerajaan merupakan lokasi strategik kerana menawarkan akses kepada komuniti yang memerlukan perkhidmatan runcit sepanjang masa.

“Bagi KK MART, kejayaan bukan hanya berapa banyak cawangan yang kita buka.

“Kejayaan sebenar ialah berapa banyak manfaat yang dapat kita berikan kepada pelanggan, pekerja, masyarakat dan rakan strategik di sekeliling kita.

“Selain memastikan perlu wujud satu elemen penting dalam perniagaan iaitu wujudkan potensi agenda tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” jelasnya.

Katanya, cawangan di IPK Kuala Lumpur beroperasi 24 jam dan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penerimaan pembayaran di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Dalam masa sama, Kee Kan berkata, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut diperluaskan menerusi inisiatif keselamatan, termasuk perkongsian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada rangkaian KK Mart bagi membantu siasatan jenayah.

Katanya, semua 1,100 cawangan KK Mart dilengkapi sistem CCTV yang dipantau 24 jam dari pusat kawalan syarikat, sekali gus membolehkan rakaman disalurkan kepada pihak berkuasa apabila diperlukan.

“KK Mart turut merancang menjadikan cawangannya sebagai Safety Point, iaitu lokasi perlindungan sementara bagi individu yang memerlukan bantuan sebelum mendapatkan khidmat polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×