KUALA LUMPUR: UMNO perlu menjadi sebuah parti yang berprinsip dan tegas dalam membela institusi diraja, bangsa dan agama.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, UMNO mesti terus menjadi sebuah parti yang berprinsip dan tegas apabila maruah bangsa dicabar.
Selain itu, katanya, UMNO perlu setia apabila institusi diraja perlu dipertahankan dan rendah hati apabila rakyat menuntut pembelaan.
“Perjuangan ini bukan perjuangan yang ada noktahnya. Ia adalah tanggungjawab yang sentiasa bersambung selagi mana agama mesti dipelihara, bangsa mesti dibela dan tanah air mesti dijaga serapinya,” katanya di Facebook, hari ini.
Muhamad Akmal berkata, UMNO tidak lahir kerana musim tetapi lahir kerana tanggungjawab.
Katanya, di sebalik usia perjuangan yang panjang, UMNO terus berdiri atas asas yang sama iaitu mempertahankan agama, bangsa dan tanah air, dengan adab yang menjunjung institusi raja sebagai payung negeri dan negara.
“Sambutan ulang tahun ini (80 tahun UMNO) bukan sekadar mengenang sejarah. Ia adalah peringatan bahawa perjuangan ini sentiasa bersambung. Daripada satu generasi kepada satu generasi. Daripada bahu mereka yang terdahulu, kini amanah itu beralih kepada kita.
“Tanggungjawab kita hari ini bukan sekadar mewarisi nama UMNO, tetapi memastikan roh perjuangannya terus hidup. Memastikan UMNO kekal menjadi nadi perjuangan, suara pembelaan, dan harapan bangsa,” katanya. – UTUSAN










