KK Mart jadi ‘titik selamat’ bantu polis KL

KK Mart jadi ‘titik selamat’ bantu polis KL

FADIL Marsus dan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan melawat ke ruang jualan KK Mart di IPK KL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur dalam cadangan menjadikan rangkaian kedai serbaneka KK Mart secara rasmi sebagai titik selamat dan kawasan persinggahan bagi meningkatkan keberadaan polis di zon awam.

Inisiatif ini dirancang melalui kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak swasta bagi mengukuhkan lagi pencegahan jenayah, khususnya di sekitar kawasan ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, cadangan tersebut kini sedang berada dalam peringkat perancangan awal selepas kertas cadangan diangkat oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK). 

“Pihak polis berhasrat untuk melaksanakannya dalam masa terdekat sebaik sahaja segala proses teknikal dan kelulusan dimuktamadkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan KK Mart di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Kata Fadil, pihaknya juga dalam cadangan penyambungan data kamera litar tertutup (CCTV) kedai terus kepada Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) di IPK Kuala Lumpur.

“Kita mahu memantau keselamatan di Kuala Lumpur dari satu keadaan yang lebih teratur dan sistematik.

“Melalui kemudahan yang berangkai dan beroperasi 24 jam di kedai serbaneka berkenaan, integrasi ini dijangka membantu pihak polis bertindak dengan lebih pantas sekiranya berlaku sebarang insiden ketenteraman awam atau jenayah di premis mahupun kawasan sekitarnya,” jelasnya.

Tambahnya,  jalinan kerjasama strategik sektor swasta dan pasukan penguat kuasa ini berupaya melonjakkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

Melalui pendekatan ini, premis KK Mart tidak lagi sekadar menjadi pusat peruncitan 24 jam, malah berfungsi sebagai ‘stesen satelit’ yang disokong kehadiran fizikal anggota polis bagi membendung jenayah di persekitaran bandar raya.

“Kerjasama awam-swasta seperti ini terbukti mampu memacu model pencegahan jenayah yang efektif. Kita berharap kejayaan inisiatif di IPK Kuala Lumpur ini dapat diperluas ke kontinjen polis lain di seluruh negara kelak,”katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×