Buang semua MP UMNO jika rasa BN tiada peranan - Dr. Akmal

Buang semua MP UMNO jika rasa BN tiada peranan – Dr. Akmal

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda UMNO mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuang semua Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam Kabinet sekiranya merasakan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai peranan dalam penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhd. Akmal Saleh ketika membalas ‘serangan’ Ketua AMK, Mohd. Kamil Munim terhadap UMNO, berkata, PKR tidak boleh lupa atau buat-buat lupa akan peranan BN semasa mahu menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Katanya, Ketua AMK itu mungkin lupa bahawa Pakatan Harapan (PH) berkunjung ke sebuah hotel berhampiran Menara Dato’ Onn untuk berjumpa dengan kepimpinan UMNO bagi meminta menubuhkan kerajaan secara bersama.

“Apabila (Presiden UMNO) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan tentang peranan BN ketika menubuhkan Kerajaan Perpaduan ini, kamu tuduh pula beliau angkuh.

“Bab mana yang angkuh itu? Boleh jelaskan?,” soalnya dalam satu hantaran di Facebook miliknya semalam.

Dr. Akmal, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata satu fakta yang mungkin dilupakan oleh PH adalah selepas PRU15, UMNO telah bersedia untuk menjadi pembangkang di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, katanya, akibat kegagalan PH menubuhkan kerajaan, mereka kemudian meminta bantuan UMNO untuk turut serta dalam Kerajaan Perpaduan.

“Itu fakta! Jika auta macam janji kamu hendak menghapus tol dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

“Tetapi jika kamu dan kepimpinan kamu merasakan bahawa peranan BN tiada dalam Kerajaan Perpaduan ini, maka saya cabar Perdana Menteri untuk buang semua Ahli Parlimen UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ini sekarang! Boleh?,” cabarnya.

Semalam, media melaporkan, Mohd. Kamil menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan terbentuk tanpa sokongan gabungan itu adalah sesuatu yang angkuh, dan tidak mencerminkan semangat sebenar kerjasama politik masa kini.

Beliau berkata, dakwaan BN menjadi faktor utama pembentukan kerajaan sedia ada susulan sumbangan 30 kerusi Parlimen, tidak wajar dalam landskap politik semasa yang lebih kompleks dan berteraskan perkongsian kuasa.

“Tak perlu overclaim begini. Kita semua tahu Kerajaan Perpaduan ini terbentuk hasil kerjasama banyak pihak, bukan sebab satu kumpulan saja. Tak usah berlagak macam kita lah yang terpaling,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN