KUALA LUMPUR : Rantaian pelaburan luar atau domestik berkaitan tenaga boleh baharu (TBB) perlu mengambil kira pelbagai aspek secara menyeluruh dan mendapat persetujuan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia termasuklah kemasukan baharu oleh Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar) dan syarikat pemaju TBB.
Katanya, pelaburan yang hendak dibuat perlu diperhalusi oleh Kabinet dengan mengambil kira semua aspek ekonomi, teknikal dan kawal selia.
“‘Offtaker TBB bagi syarikat pelabur ini akan ditetapkan berdasar jenis program TBB yang disertai pihak syarikat. Umpamanya sekiranya syarikat menyertai program Large Scale Solar.
“Maka, `offtaker’ tenaga adalah pihak utiliti atau TNB. Sekiranya pelabur menyertai program solar di bumbung, maka offtaker tenaga di bawah program ini adalah pengguna elektrik sendiri dan sekiranya syarikat menyertai program pihak ketiga kelak.
“Maka, pengguna korporat yang mempunyai ikatan kontrak dengan pemaju adalah offtaker bagi TBB yang dijana,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) meminta kementerian menjelaskan mengenai syarikat UAE, Masdar, yang telah menandatangani pelan pelaksanaan dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk pembangunan sehingga 10GW projek TBB di Malaysia.
Menjawab soalan tambahan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai implikasi kos, impak sosial dan kesan kepada syarikat subsidiari tenaga dimiliki kerajaan susulan pelaburan TBB, Fadillah berkata, ia memerlukan tanah berkeluasan besar dan bersesuaian bagi pembinaan ladang, selain mengakui ia membabitkan modal yang besar.
“Secara umumnya, 1 kilo watt (KW) (tenaga solar) kita perlu berbelanja pada kadar sekarang kira-kira RM4,000. Bayangkan kalau nak bekalkan 1,000 mega watt (MW), maknanya RM4 bilion akan dilaburkan untuk bekalan tenaga.
“Namun, solar hanya dapat membekalkan (tenaga) antara empat hingga lima jam sehari, kemudian memerlukan bateri untuk ‘restore’ (membantu mengembalikan) atau preserve (memelihara) tenaga.
“Ini bagi membolehkan (tenaga) dibekalkan secara konsisten ke grid untuk memastikan ia stabil dan selamat,” ujarnya. -UTUSAN










