Parlimen: Tanah terbiar dibangun, tingkat pengeluaran negara

Parlimen: Tanah terbiar dibangun untuk tingkat pengeluaran makanan negara

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memanfaatkan sebanyak 103,563 hektar tanah terbiar milik persendirian yang sudah dikenalpasti untuk meningkatkan pengeluaran makanan dalam negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan , Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kementeriannya mencadangkan inisiatif bagi meningkatkan keluasan tanah pertanian melalui sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan negeri yang dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-139.

Menurut beliau, antara sinergi yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat tersebut adalah penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian peringkat daerah bagi memudahcara urusan membangunkan tanah persendirian yang tidak diusahakan dan berpotensi.

“Kementerian juga telah menawarkan insentif kepada semua pihak yang ingin membangunkan tanah-tanah terbiar atau berpotensi melalui program-program yang dirancang. 

“Antara program yang dilaksanakan adalah melalui Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2024 iaitu Mengoptimumkan Penggunaan Tanah Dengan Kerjasama Kerajaan Negeri Di Bawah KPKM dengan nilai peruntukan sebanyak RM150 juta.

“Program ini adalah kesinambungan Projek Pembangunan Tanah Pertanian Berpotensi yang dilaksanakan sebelum ini yang memfokuskan pembangunan tanah-tanah milik kerajaan negeri atau agensi di bawahnya.

“Bagi maksud ini, KPKM telah mengenal pasti beberapa aktiviti pertanian dan penternakan dalam program ini, khususnya meningkatkan pengeluaran jagung bijian, tanaman kontan antaranya bawang, cili, halia dan buah rockmelon, penternakan lembu susu dan daging serta produk akuakultur,” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta kementerian  menyatakan berapakah jumlah keluasan tanah pertanian yang terbiar di seluuh negara dan apakah perancangan kementerian untuk memanfaatkan tanah tersebut.

Untuk rekod, tanah terbiar berjumlah 46,382 lot di Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 89,464.35 hektar merupakan tanah darat manakala 14,098.26 hektar tanah sawah.

Mengulas lanjut, Arthur Joseph berkata, kementeriannya akan meneruskan libat urus dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan program-program pembangunan tanah terbiar.

“(Ini) agar wujud kesinambungan dan usaha kementerian untuk memastikan tanah-tanah pertanian dapat dibangunkan secara optimum,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN