KAMPAR: Pengguna bas ekspres kelas ekonomi di sini menyifatkan tindakan menaikkan harga tambang pengangkutan awam itu pada bulan depan sebanyak 10 peratus tidak wajar dan membebankan.
Pelajar universiti, Lew Yet Poh, 23, berasal dari Johor Bahru, Johor berkata, kenaikan itu tidak wajar dan membebankannya.
“Sekarang harga tambang dari Kampar Putra Sentral ke Johor Jaya ialah RM70 sehala seorang. Sekiranya naik 10 peratus, harga baru ialah RM77.
“Dengan RM7 itu banyak yang boleh dibeli seperti makanan dan minuman ringan. Saya balik ke Johor sebulan sekali, jadi jumlah yang perlu belanja ialah RM154,” katanya di Kampar Putra Sentral di sini.
Katanya lagi, dia berharap, kerajaan dapat menimbang semula kenaikan itu kerana pengguna telah tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan semasa.
“Semua barangan dan perkhidmatan naik, jadi ini membebankan rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pekerja swasta yang bekerja di sebuah syarikat pembinaan di sini , Kamal Sumadi, 27, berkata, dia terpaksa berjimat untuk pulang ke kampung halaman isterinya di Alor Setar, Kedah.
“Memang hanya 10 peratus kenaikan tetapi barangan lain pun naik harga termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST), jadi perlu berjimat dan berbelanja mengikut keperluan supaya tidak lari bajet,” katanya.
Harga tiket Kampar Putra Sentral ke Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah ialah RM40.
Media melaporkan, tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi meningkat sebanyak 10 peratus pada perayaan Hari Raya Aidilfitri iaitu bermula 4 hingga 17 April 2024.
Menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), perkara itu diumumkan selepas mesyuarat jemaah menteri meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer (skm), iaitu kenaikan 10 peratus ke atas kadar tambang semasa. – UTUSAN










