ROM: Sebuah pesawat syarikat penerbangan tambang murah, EasyJet yang menuju ke United Kingdom (UK) terpaksa dilencongkan ke Rom, Itali hanya kerana pengecas pintar berada di dalam ruang kargo.
Penerbangan EZY2618 yang berlepas dari Hurghada, Mesir menuju ke London Luton itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di ibu negara Itali baru-baru ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Pihak EasyJet memaklumkan bahawa kapten pesawat membuat keputusan untuk melencongkan penerbangan selaras dengan peraturan keselamatan.
Ia dilakukan sejurus selepas seorang penumpang memaklumkan kepada kru kabin bahawa pengecas itu tertinggal di dalam beg yang didaftarkan masuk ke ruang kargo.
Pesawat tersebut dilaporkan berjaya mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Fiumicino, Rom dan jadual penerbangan penumpang terpaksa ditunda kepada keesokan harinya.
Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang kerosakan atau litar pintas berlaku pada pengecas itu.
Bagaimanapun, undang-undang penerbangan antarabangsa menetapkan bahawa sebarang pengecas mudah alih dilarang berada dalam keadaan mengecas di dalam ruang kargo sepanjang penerbangan.
Jurucakap EasyJet dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan bahawa kesemua penumpang telah turun dari pesawat dengan selamat.
Pihak syarikat turut menyediakan kemudahan penginapan hotel, makanan dan baucar minuman kepada penumpang yang terpaksa menunggu di lapangan terbang.
“Keselamatan penumpang dan anak kapal adalah keutamaan tertinggi syarikat. EasyJet,” jelas jurucakap itu yang turut memohon maaf atas kesulitan tersebut. – AGENSI










