PETALING JAYA: Kenaikan harga minyak susulan ketidaktentuan ekonomi global tidak akan memberi kesan terhadap tambang dan kelangsungan operasi perkhidmatan Bas.My di negara ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan memberi jaminan tambang Bas.My akan kekal berikutan perkhidmatan itu menerima subsidi termasuk subsidi bahan api.
Katanya, pemegang kad konsesi terus menikmati tambang percuma manakala harga pas bulanan kekal pada kadar RM30.
Beliau berkata, tiada sebab untuk tambang dinaikkan kerana kerajaan menanggung subsidi bagi kedua-dua kos bahan api dan operasi di bawah model kontrak dengan pengendali bas.
“Tambang bas ini tidak naik dan akan kekal. Untuk pemegang kad konsesi, mereka terus menikmati tambang percuma.
“Bagi pas bulanan pula, harganya kekal RM30 dan sebenarnya telah diturunkan daripada RM50 sebelum ini untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
“Kerajaan tidak berhasrat untuk mendapat keuntungan daripada perkhidmatan ini. Kita mahu lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam kerana ia alternatif yang penting dan mampu milik,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Laluan Baharu Bas.My Kuching di The Summer Mall, Samarahan, hari ini.
“Laluan ini telah mula beroperasi pada 1 April lepas, iaitu laluan Q11 (Arang Road), Q12 (Taman Hui Sing), Q13 (Siburan), Q14 (Summer Mall), Q15 (Stutong Baru/Kuching Sentral) dan Q16 (Taman Sukma).
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, kerajaan menerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak memperkenalkan enam laluan baharu perkhidmatan Bas.My di bandar raya Kuching serta kawasan sekitarnya.
“Fasa pertama pelaksanaan memberi tumpuan kepada ibu negeri termasuk Kuching, Johor Bahru, Seremban dan Ipoh. Fasa kedua nanti kita mahu perluaskan ke bandar kedua seperti Sibu dan Bintulu di Sarawak.
“Laluan ini telah mula beroperasi pada 1 April lalu iaitu laluan Q11 (Arang Road), Q12 (Taman Hui Sing), Q13 (Siburan), Q14 (Summer Mall), Q15 (Stutong Baru/Kuching Sentral) dan Q16 (Taman Sukma),” katanya.
Tambah beliau, kerajaan masih meneruskan subsidi di bawah Sistem Sokongan Sementara Perkhidmatan Bas Henti-Henti (ISBSS) kepada pengusaha bas tempatan di kawasan luar bandar bagi memastikan perkhidmatan pengangkutan awam terus disediakan kepada rakyat. – UTUSAN










