KOTA BHARU: Penetapan harga beras bermula ‘di pintu’ kilang mampu membendung isu manipulasi dan penipuan harga beras sekali gus memastikan keterjaminan bekalan mencukupi untuk keperluan rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong yang mempunyai kilang padi dan beras, Datuk Aimi Jusoh berkata, kenaikan harga di pintu kilang pada kadar munasabah iaitu antara RM2,600 hingga RM2,800 satu tan mampu memanjangkan lagi jangka hayat pemain industri beras.
Katanya, langkah itu membolehkan pengilang mendapat sedikit keuntungan bagi menampung kos pengeluaran selepas berdepan dengan harga belian padi yang terlalu tinggi di pasaran ketika ini.
“Walaupun kerajaan menetapkan harga lantai padi iaitu RM1,300, bahan mentah itu dijual lebih tinggi sehingga ada yang mencecah RM1,700 satu tan.
“Situasi itu berlaku ekoran perebutan mendapatkan bekalan bahan mentah tersebut. Dari sudut petani dan pesawah, mereka mendapat keuntungan. Namun untuk jangka masa panjang, berapa lama perkara ini boleh bertahan.
“Kami terpaksa jual beras di pintu kilang pada harga RM2,250 satu tan. Untuk makluman, sejak 15 tahun lalu, tiada kajian ke atas harga beras dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Aimi yang Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan memberitahu, untuk menghasilkan satu tan beras, pengilang terpaksa berbelanja kira-kira RM300.
Katanya, hasil analisis mendapati jika padi dibeli pada RM1,500 satu tan pengilang akan kerugian lebih RM100 untuk satu tan.
“Bagaimanapun jumlah itu dapat ditampung menerusi jualan hasil beras seperti dedak, tenukut dan sebagainya sekitar RM250 hingga RM300.
“Namun, pihak pengilang terpaksa menanggung kos-kos lain seperti pengurusan,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kerajaan belum membuat sebarang ketetapan susulan cadangan untuk mewujudkan satu gred Beras Putih Malaysia Madani.
Ia sebagaimana cadangan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal baru-baru ini sehingga mengundang kekeliruan orang ramai.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Mohamad Sabu menjelaskan, pada masa ini kerajaan bersetuju untuk membincangkan cadangan tersebut terlebih dahulu dalam mesyuarat Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) akan datang. –UTUSAN










