Pindaan Enakmen Jenayah Syariah perlu perkenan Sultan Perak - Utusan Malaysia

Pindaan Enakmen Jenayah Syariah perlu perkenan Sultan Perak

MOHAMMAD Zahir Abdul Khalid (kiri) meninjau keadaan Dewan sempena Persidangan DUN Perak yang akan bermula 23 Februari ini. - UTUSANN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perkara berkaitan pindaan enakmen jenayah syariah Perak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, sebelum perkara itu dibawa ke sidang DUN untuk dibahaskan, sebuah jawatankuasa khas perlu membuat kajian terlebih dahulu mengenainya.

“Perkara melibatkan hal ehwal agama Islam dan adat Melayu Perak dan pindaan enakmen jenayah Syariah Perak perlu terlebih dahulu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum perbincangan mengenainya dibuat.

“Selepas mendapat perkenan baginda tuanku, perkara itu akan dibincangkan di bawah jawatankuasa MAIPk seterusnya pada persidangan MAIPk, dan selepas itu barulah dikemukakan kepada DUN untuk dibahas,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Pertama, Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha DUN Perak, Muhammad Nazri Abdullah dan Timbalan Speaker DUN Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen.

Sebelum ini, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan membatalkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ia susulan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohammad Zahir berkata, tempoh persidangan Dewan Perak kali ini akan berlangsung lima hari bermula 23 sehingga 29 Februari.

Menurutnya, seperti kelazimannya, sepanjang persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung selama satu jam.

“Usul menyembah ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas penzahiran titah diraja akan dibawa dan dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 26 Februari,” katanya.

Menurutnya, seramai 47 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan diberikan peluang untuk berbahas berkaitan usul tersebut iaitu 21 ADUN kerajaan dan 26 ADUN Pembangkang termasuk Ketua Pembangkang.

Kata beliau, sesi perbahasan dijadualkan berlangsung pada Persidangan Kedua iaitu 26 Februari dan tempoh masa perbahasan kepada ADUN kerajaan dan Ketua Pembangkang selama 40 minit setiap seorang manakala tempoh masa perbahasan bagi setiap pembahas yang lain 20 minit.

“Sesi penggulungan oleh semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah mengikut portfolio masing-masing dijadualkan pada pada 28 Februari selama 45 minit seorang.

“Sesi penggulungan oleh Menteri Besar dijadualkan pada 29 Februari selama 60 minit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN