DUN Perak: NRREE adalah hak negeri - Utusan Malaysia

DUN Perak: NRREE adalah hak negeri

SAARANI Mohamad menjawab soalan semasa Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak akan bermati-matian mempertahankan sumber hasil bumi seperti nadir bumi bukan radioaktif (NRREE) di Perak sebagai hak negeri.

Malah tidak mahu aset itu dimiliki oleh kerajaan Persekutuan sepertimana melalui syarikat minyak negara, Petronas yang menguasai semua hak hasil petroleum dan sekadar memberikan royalti kepada negeri-negeri pengeluar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dalam beberapa mesyuarat dengan peringkat kerajaan Pusat, Perak telah menyatakan pendirian tersebut sebagaimana kerajaan negeri-negeri lain.

Bagaimanapun katanya, kerajaan Pusat masih boleh bertindak sebagai penyelaras untuk menjayakan aktiviti yang berkaitan dengan pengeluaran hasil bumi tersebut.

“Semua akiviti yang berkaitan dengan pengekstrakan adalah merupakan hak kerajaan negeri. Kita bermati-matian mempertahankan supaya tidak ‘dipetronaskan NRREE ini’, katanya semasa menjawab soalan Razman Zakarian (Pas-Gunung Semanggol) berkenaan hak NRREE Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Saarani malah menyatakan komitmen terhadap NRREE dengan mewujudkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan yang menggabungkan kepakaran tempatan dan antarabangsa untuk menjadi hab penyelidikan, inovasi serta pembangunan teknologi berkaitan nadir bumi.

“Kerajaan negeri telah memulakan projek perintis perlombongan NRREE di mukim Kenering, Daerah Hulu Perak. Projek ini telah berjaya membuktikan kebolehlaksanaan perlombongan NRREE tanpa implikasi negatif, seperti yang disahkan melalui audit oleh Jabatan Mineral dan Geosains Perak.

“Kejayaan ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap perlombongan yang mampan dan mematuhi prosedur operasi seragam (SOP) yang ketat,” katanya.

Beliau juga menjelaskan komitmen negeri dengan pembangunan makmal analisis mineral, Terra Mineral Lab (TML) yang memberi nilai tambah kepada industri perlombongan NRREE dan mineral lain.

Tambahnya, bagi pembukaan makmal tersebut, seramai 15 pekerja diambil dengan dua orang ahli kimia kanan daripada universiti tempatan dan 13 graduan sebagai pembantu ahli kimia serta kakitangan sokongan.

“Pada masa akan datang, bilangan pekerja akan bertambah berdasarkan jangkaan bilangan analisis yang perlu dilakukan dari masa ke semasa. Semua pekerja makmal ini dilatih di dalam dan luar negara. Makmal ini dijangka beroperasi bermula pada September 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN