Bantuan kotak makanan diedar melalui NGO elak manipulasi ahli politik - Utusan Malaysia

Bantuan kotak makanan diedar melalui NGO elak manipulasi ahli politik

SAARANI Mohamad pada Persidangan DUN Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh. - UTUSAN/IHSAN MEDIA SUK PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keputusan Perak mengagihkan bantuan kotak makanan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengelakkan manipulasi ahli politik terhadap bantuan tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana beberapa Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menggunakan pelekat sendiri, seolah-olah kotak itu datang daripada pusat khidmat berkenaan.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja dilakukan ADUN pembangkang malah turut membabitkan ADUN kerajaan.

“Saya tidak kisah jika ada pihak yang marah dengan tindakan saya ini, kerana niat saya hanya satu, untuk memastikan agihan bantuan kepada rakyat susah ini dilakukan dengan betul.

“Sebagai wakil rakyat yang bertanggungjawab, tidak perlulah menggunakan nama parti untuk dikenali. Jika kita berkhidmat dengan baik dan penuh keikhlasan, muka kita tetapi dikenali dan diingati rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sesi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja Sultan Perak Sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua Dewan Negeri yang Ke-15 Perak di sini hari ini.

Katanya, semasa beliau menganggotai kerajaan negeri, Yayasan Bina Upaya (YBU) diwujudkan untuk membantu rakyat susah termasuk mengedarkan kotak makanan kepada rakyat yang memerlukan.

Jelas Saarani, sewaktu berlaku pertukaran kerajaan, nama Kotak Makanan YBU diubah kepada Kotak Makanan Yayasan Perak.

Namun katanya, disebabkan ia di luar skop kerja dan tugas Yayasan Perak, agihan kotak makanan tidak dapat disempurnakan dengan baik kerana Yayasan Perak tidak ada kemampuan mengedarkannya.

Oleh demikian jelasnya, kerajaan negeri ketika itu membuat keputusan mengedarkan kotak makanan berkenaan melalui Pusat Khidmat ADUN Kerajaan.

“Apabila saya mengambil alih, saya meluaskan lagi agihan kotak makanan dengan turut membabitkan Pusat Khidmat ADUN Pembangkang. Dengan harapan, ia dapat diagihkan dengan adil dan sebaiknya kepada rakyat yang layak dan memerlukan.

“Malangnya, keikhlasan saya itu dibalas dengan perbuatan yang mengecewakan. Beberapa pusat khidmat telah menggunakan pelekat sendiri seolah-olah kotak itu datangnya dari pusat khidmat berkenaan.

Kata Saarani, apabila ia berlaku membabitkan kedua-dua pihak, beliau mengambil keputusan untuk menarik balik kemudahan itu dan serahkan semula kepada Yayasan Perak untuk diagihkan melalui NGO yang dilantik.

Katanya, Yayasan Perak akan mengeluarkan senarai NGO yang terbabit dalam membuat agihan bagi memudahkan orang ramai mengenali mereka.

“Yayasan Perak hendaklah memastikan semua NGO yang terlibat menyampaikan kotak makanan dengan amanah dan bertanggungjawab. Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menarik balik tauliah yang diberikan kepada NGO berkenaan sekiranya terbukti melanggar SOP yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN