Prestasi ekonomi Perak kukuh, KDNK Negeri catat RM86.2 b

Prestasi ekonomi Perak kukuh, KDNK Negeri catat RM86.2 b

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak terus mencatatkan prestasi ekonomi yang memberangsangkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri, sekali gus menangkis dakwaan pembangkang kononnya negeri itu gagal.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, dakwaan yang dibuat segelintir pihak pembangkang itu tidak tepat dan dipercayai berpunca daripada salah tafsir terhadap data dan statistik.

“Ada pihak menggunakan data untuk menilai pencapaian dan tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai asas untuk menyindir dan mengkritik dasar kerajaan, yang sememangnya sesuatu yang positif.

“Namun, apabila semakan dibuat, terdapat segelintir hujah dibina berasaskan data tidak tepat, tidak disahkan sumbernya, malah ada yang jelas menyimpang daripada fakta sebenar,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Sultan Perak dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu, kerajaan negeri tidak gentar terhadap kritikan, malah mengalu-alukannya, namun ia perlulah berasaskan fakta yang sahih, tepat dan boleh dipertanggungjawabkan.

Katanya, isu sebenar bukan terletak pada data dan statistik yang digunakan, sebaliknya pada cara ia ditafsirkan, sama ada disampaikan secara jujur atau dipilih-pilih bagi menyokong naratif yang akhirnya mengelirukan rakyat.

“Berdasarkan data rasmi, nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perak bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM86.2 bilion sekali gus meletakkan negeri ini di kedudukan keenam tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

“Bagaimana boleh ada yang menyatakan Perak berada di kedudukan keenam terbawah sedangkan data jelas menunjukkan kita berada di tangga keenam tertinggi?

“Kalau sumbangan 5.2 peratus kepada KDNK negara dianggap gagal, bagaimana pula negeri-negeri lain yang mencatatkan peratusan lebih rendah? Ini tidak adil dan tidak berasas,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, perbandingan antara negeri perlu dibuat secara adil dan mengambil kira faktor struktur ekonomi, kemudahan serta kedudukan geografi bukannya semata-mata angka keseluruhan.

Bagaimanapun, Saarani mengakui masih terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dari segi kadar pertumbuhan ekonomi yang boleh dipertingkatkan lagi.

Namun tegasnya, perkara itu tidak boleh disamakan dengan kegagalan pentadbiran kerajaan negeri.

“Kalau kita terus melabel negeri ini gagal, ia akan memberi persepsi negatif kepada pelabur dan menjejaskan keyakinan mereka.

“Tetapi jika kita tonjolkan potensi dan usaha yang sedang dilakukan, ia akan memberi gambaran positif serta menarik minat pelabur untuk datang ke Perak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN