Strategi serampang dua mata: Strategi Pembudayaan Integriti Nasional harus seganding dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Negara

Strategi serampang dua mata: Strategi Pembudayaan Integriti Nasional harus seganding dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDAHULUAN

Pada 23 April 2004, Malaysia melakar satu sejarah baharu yang penting apabila Pelan Integriti Nasional (PIN) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri ke-5 YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah.

Langkah strategik ini digerakkan bagi meletakkan asas tata kelola pentadbiran negara dengan integriti sebagai budaya dan prinsip pegangan hidup pelbagai sektor negara dan masyarakat untuk membina sebuah negara maju.

Pada masa itu, kehadiran Pak Lah dengan gaya kepimpinannya yang sederhana dan merendah diri serta agenda integriti bersama dengan Islam Hadhari dianggap seumpama angin segar yang membawa harapan baharu. Ia menandakan perbezaan ketara dengan zaman 22 tahun pemerintahan YAB Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri ke-4 sebelum itu.

Dua dekad lebih kemudian, landskap sosioekonomi, geopolitik, budaya serta ekosistem teknologi dunia telah berubah secara amat mendalam. Pelancaran Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (atau dikenali sebagai National Integrity Enculturation Strategy – NIES) baru-baru ini (13 Jun 2026) oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), bukan berarti PIN sudah tidak lagi relevan.

PIN telah disemak semula dengan tujuan menggarap strategi baharu bagi pembudayaan integriti sesuai dengan keadaan dan cabaran baharu integriti yang melanda dekad kedua dan ketiga abad ke-21. NIES masih mengekalkan kerangka sektor dalam PIN tetapi daripada lapan ditambah dua lagi menjadi sepuluh. Namun pendekatan pelaksanaannya bukan sektoral, tetapi memberi fokus terhadap tiga teras strategi iaitu:

• Teras Pendidikan dan Pembinaan Insan Berintegriti;

• Tadbir Urus dan Institusi Beretika; serta

• Komuniti dan Jangkauan Budaya Berintegriti.

Fokus kepada tiga teras ini adalah untuk melaksanakan misinya iaitu “Mengarusperdanakan integriti melalui pengukuhan nilai, sistem dan kepimpinan secara bersepadu bagi membentuk budaya hidup berintegriti dalam masyarakat Malaysia.”

SUMBANGAN PELAN INTEGRITI NASIONAL (PIN) DAN INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA (IIM)

Untuk melangkah ke hadapan dengan strategi baharu di bawah NIES, kita perlu menoleh ke belakang sepintas lalu untuk mengenalpasti landasan dan tonggak-tonggak utama PIN dan IIM demi menarik pengalaman dan pengajaran daripadanya.

Dalam dokumen PIN yang dilancarkan pada 23 April 2004, fokus utamanya membina pasak institusi negara dengan: (1) Memerangi rasuah secara berkesan; (2) Meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan awam; (3) Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan; (4) Memantapkan institusi keluarga; serta (5) Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat. Untuk mencapai matlamat itu, PIN mengandungi Pelan Tindakan yang terperinci dan lengkap dengan institusi atau agensi pelaksananya. PIN bertujuan menanamkan budaya integriti dalam pelbagai sektor negara, swasta dan masyarakat di mana Institut Integriti Malaysia (IIM) memainkan peranan penting sebagai institusi penggerak, pemantau dan penyelarasnya.

Dalam tempoh 20 tahun lebih ini, IIM khususnya berjaya memasukkan konsep integriti ke dalam kamus tadbir urus jentera negara Malaysia sehingga ia menjadi prinsip pembimbing para pemimpin dan pentadbir.

Sementara itu, istilah integriti pula sudah menjadi buah mulut dan sebati dengan seluruh warga.

Pada masa yang sama, terdapat beberapa reformasi institusi khasnya pada zaman Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berlangsung selama hampir enam tahun daripada penghujung Oktober 2003 hingga April 2009.

Contoh paling ketara ialah Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang dianggap “harimau tanpa taring” dalam Kajian Persepsi Awam Terhadap Rasuah yang disiapkan oleh pasukan UKM pada tahun 2002 “sudah mendapat taringnya” apabila statusnya diangkat menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Agensi penting di bawah SPRM iaitu Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dengan kerjasama IIM, ahli akademik dan para pemegang taruh yang lain berjaya melahirkan sebanyak 3,300 lebih pegawai integriti bertauliah (Certified Integrity Officers – CIOs) sejak bermulanya program ini pada 2010 sehingga kini.

Para pegawai integriti ini ditempatkan dalam kedudukan strategik dalam sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (SBK) dan juga swasta. Ini suatu hasil yang patut dipertahan dan dikembangkan.

RASUAH MENJADI SISTEMIK, ANGKA-ANGKA KETIRISAN MENGGERUNKAN

Namun, banyak perkara berlaku sejak pengunduran Pak Lah pada April 2009 dan pelantikan Perdana Menteri ke-6 YAB Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak (2009 – 2018).

Walaupun pada awal pentadbirannya kelihatan sinar tertentu dengan pelancaran Model Ekonomi Baru yang menjanjikan Transformasi Nasional 2050, namun harapan itu terkecai sekerat jalan. Begitu jugalah nasib reformasi institusi dan budaya yang digerakkan pada zaman Pak Lah.

Di bawah Perdana Menteri pada masa itu khususnya mulai tahun 2010 pada sekitar pertengahan tempoh pemerintahannya, skandal besar-besaran berlaku dalam bentuk penyelewengan 1MDB dan anak syarikatnya SRC yang meletus pada tahun 2015. Ini sudah menjadi pengetahuan umum seluruh Malaysia dan juga dunia.

Dalam tempoh ini, rasuah yang dahulunya bersifat “a fact of life” (sesuatu yang berlaku dalam kehidupan) sudah berubah menjadi “a way of life”, iaitu satu cara hidup atau budaya. Lebih berbahaya lagi, ia sudah meresap ke dalam institusi dan sistem negara menjadikan rasuah dan penyelewengan itu sistemik.

Pada tahap ini, beberapa tonggak institusi utama sebagai benteng keutuhan negara sudah dirosaki dari dalam.

Dilihat dari sudut ekonomi politik, apa yang berlaku pada tahap ini adalah elite capture, yakni elit berkuasa menyelewengkan atau menggelapkan sumber kekayaan negara secara besar-besaran.

Dan ini disusuli dengan tindakan state capture bermaksud, instrumen negara diperalatkan oleh elit politik yang ‘menawan’ pimpinan pentadbiran dan penguatkuasa untuk menutupi rasuah dan penyelewangan yang berlaku.

Dalam keadaan itu, agensi-agensi regulatori dan penguatkuasa negara, khususnya Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, SPRM dan PDRM.

Walaupun ada pimpinannya bertekad untuk mengambil tindakan menghentikan proses penggelapan sumber dan membela kepentingan negara, mereka sama ada telah ditukar, dipetisejukkan, atau paling teruk, dicantas.

Institusi-institusi kuasa itu mengalami ‘kelumpuhan’ dalam darjah tertentu sehinggalah rejim BN berjaya dikalahkan dalam pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018.

Apakah impaknya kepada negara akibat pelbagai skandal seperti 1MDB dan korupsi mega lain? Menurut data SPRM, negara kerugian sebanyak RM277 bilion dalam 5-6 tahun terakhir (2018-2023), atau purata sekitar RM46 – RM55 bilion setahun atau 4% KDNK. Badan pemikir EMIR Research pula melihat dalam perspektif kajian jangka panjang tentang kerugian terkumpul yang dialami oleh Malaysia dalam tempoh satu suku abad. Badan ini menganggarkan Malaysia telah kerugian secara terkumpul sebanyak RM4.5 trilion (atau RM4,500 bilion) dalam tempoh 26 tahun (antara tahun 1997 hingga 2022) disebabkan oleh pelbagai bentuk ketirisan, rasuah, dan salah laku kewangan institutional.

Termasuk dalam jumlah itu ialah penyelewengan dana asal 1MDB sebanyak RM42 bilion semasa ditubuhkan sekitar 2010, namun kos liabiliti kewangan sebenar (prinsipal bersama komitmen faedah) yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Malaysia adalah melebihi RM50 bilion.

Matlamat rasmi 1MDB adalah untuk menjadi syarikat pembangunan strategik milik penuh kerajaan bagi memacu pembangunan ekonomi jangka panjang melalui pelaburan langsung asing dan perkongsian global. Namun apa yang dihasratkan tidak menjadi kenyataan.

Ini satu pengajaran sejarah yang menjangkau jauh bagi Malaysia yang kesannya melampaui generasi.

Mujurlah sistem pentadbiran awam Malaysia telah semakin pulih daripada kemelut itu dan hari ini ia diiktiraf menduduki tempat keempat terbaik di Asia pada 2024, menurut kajian oleh Universiti Oxford.

Menurut Blavatnik Index of Public Administration 2024 di bawah Universiti Oxford, pentadbiran awam Malaysia memperoleh skor 0.61 dalam indeks berkenaan dan amat cemerlang dalam domain “People and Process”, dengan mencapai kedudukan ke-7 secara global.

Meneruskan Agenda Integriti dan Anti-Rasuah

Maka soalan yang timbul ialah, apakah jalan ke hadapan? Apakah agenda integriti yang diusahakan melalui PIN dan Institut Integriti Malaysia gagal membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat, gagal mengurangkan rasuah, dan penyelewengan, dan justeru harus dicampak?

Ataupun ini sesungguhnya kegagalakan jentera dan sistem tata kelola seluruh negara sehingga membolehkan segelintir elit politik dan elit pentadbir yang bersekomgkol dengannya melakukan penyelewengan dan penggelapan besar-besaran itu?

Disebabkan rasuah dan salah guna kuasa itu bersifat sistemik, maka ia mencerminkan kelemahan dan kelompangan dalam sistem tata kelola negara.

Justeru, setelah berlakunya pertukaran Kerajaan pada 2018, memang amat wajar pemerintah baharu di bawah Perdana Menteri Tun Mahathir 2.0 menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) yang menyelaraskan pelbagai agensi penguatkuasa serta melancarkan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) (2019-2023).

Namun Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) telah tamat pada akhir 2023. Belum selesai pelbagai sasaran yang dirancangkan dalam NACP, pelan ini digantikan dengan sesuatu yang baharu, iaitu Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028.

NACS telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mei 2024 sebagai pengganti kepada NACP. Ia merupakan pelan tindakan terbaharu kerajaan Malaysia yang digubal untuk memandu agenda pengukuhan tatakelola dan memperhebat tindakan pembanterasan rasuah dalam tempoh lima tahun sehingga 2028. NACS bertumpu kepada 5 strategi teras yang saling menyilang seperti berikut:

• Pendidikan: Memupuk budaya benci rasuah dan salah guna kuasa bermula dari peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, sehinggalah ke tahap komuniti.

• Kebertanggungjawaban Awam: Memperketat pengurusan sistem perolehan kerajaan, memantapkan integriti pentadbiran politik, serta memastikan ketelusan institusi kehakiman dan perundangan.

• Suara Rakyat: Memberdayakan penglibatan masyarakat sivil menerusi penubuhan platform khas seperti Kaukus Antirasuah CSO bagi meningkatkan pengawasan sosial terhadap amalan rasuah.

• Penguatkuasaan: Memperkasa kapasiti agensi penguatkuasaan (termasuk SPRM dan Kastam) dari aspek risikan teknologi dan tindakan undang-undang rentas sempadan.

• Insentif: Memberikan ganjaran, pengiktirafan, atau pelepasan khas kepada entiti korporat dan individu yang mengamalkan piawaian tatakelola tertinggi dalam operasi mereka.

Antara langkah yang diambil ialah mewujudkan mekanisme semakan ketat dengan mendirikan Papan Pemuka NACS (NACS Dashboard) pada Februari 2025.

Dikendalikan secara langsung oleh SPRM, ia digunakan untuk menjejak prestasi 19 ketua agensi peneraju yang dipertanggungjawabkan bagi setiap inisiatif.

Seiring dengan itu, prestasi pencapaian dibentangkan secara berkala dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebelum diangkat ke Parlimen.

Apa yang istimewa penting ialah Papan Pemuka NACS ini buat pertama kali membolehkan orang awam termasuk media memantau prestasi pelaksanaan strategi anti-rasuah negara oleh SPRM dan rakan-rakan strategiknya.

Namun papan pemuka ini masih bersifat satu hala; ia tidak menyediakan platform untuk orang awam membuat laporan ataupun memberi maklum balas terhadap usaha membanteras rasuah secara terus kepada SPRM.

Sebagai langkah selanjutnya, Malaysia boleh mencontohi pengalaman Korea Selatan yang dirujuk di dalam NIES sebagai negara contoh untuk tujuan penanda arasnya. Korea Selatan telah mendirikan Sistem e-Aduan bersepadu seperti Clean Portal dan e-People (Kookmin Sinmungo) yang sememangnya merupakan antara penanda aras terbaik di dunia bagi ketelusan tadbir urus dan perlindungan pemberi maklumat.

PERLUNYA STRATEGI SERAMPANG DUA MATA MEMERANGI RASUAH SISTEMIK DAN BELAJAR DARI CONTOH TERBAIK ANTARABANGSA

Dalam usaha melakar masa hadapan bagi mencipta keadaan di mana rasuah dibanteras dan integriti menjadi amalan budaya seluruh warga, Malaysia kini mempunyai dua senjata yang ampuh – NACS dan NIES.

Bagaimanakah kedua-dua senjata ini harus digunakan untuk memastikan keberkesannya semakmimum mungkin? Kita memerlukan pendekatan serampang dua mata di mana NACS dan NIES bergerak sebagai satu pasukan tanpa silo birokrasi.

SPRM memegang mata tombak pertama dalam serampang dua mata iaitu mempunyai kuasa bertindak sebagai jentera “serangan dan penguatkuasaan”.

Ia senjata perundangan yang ampuh untuk mencantas rantaian jenayah, membekukan dana haram, menyita kekayaan luar biasa, dan mengheret pelaku ke muka pengadilan.

Di sisi lain pula, mata tombak kedua iaitu NIES berfungsi sebagai instrumen pembina benteng moral yang mengukuhkan sanubari setiap warganegara dalam membina integriti serta melawan rasuah dan penyelewengan.

Penguatkuasaan undang-undang secara agresif tanpa disokong oleh pembudayaan nilai hanya akan melahirkan masyarakat yang patuh kerana takut dihukum. Memang rasa takut dan patuh ini sangat perlu apabila keadaan sudah tenat.

Tetapi untuk mengekalkan kepatuhan itu perlu sentuhan nilai yang membina kekuatan dari dalam keinsafan dan kesedaran.

Strategi serampang dua mata ini adalah pendekatan proaktif untuk menghasilkan keadaan “melakukan perkara yang betul walaupun tiada sesiapa yang melihat”.

Dalam rangka melaksanakan Strategi Serampang Dua Mata ini, Malaysia memang perlu membuat penandas arasan dengan amalan terbaik di dunia. Apa yang baharu dalam NIES bagi pembudayaan integriti ialah kesediaannya mempelajari, meneliti dan mengadun ramuan terbaik daripada tiga model negara Asia – Jepun, Korea Selatan dan Singapura – dari segi pembudayaan integriti yang telah berjaya mentransformasikan sistem pendidikan dan tadbir urus mereka menjadi antara yang amat berkesan di dunia.

Daripada ketiga-tiga negara ini, memang Malaysia telah lama melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur sejak 1980-an lagi melihat ke Jepun dan Korea Selatan.

Bagi Jepun, kekuatan terbesar mereka terletak pada kod etika sosial silam yang diterjemahkan ke dalam pentadbiran moden melalui konsep maruah diri (Meiyo) dan budaya malu (Haji).

Prinsip pertanggungjawaban di Jepun bersifat serta-merta dan memang istimewa.

Seorang pemimpin yang terpalit isu integriti akan meletakkan jawatan secara sukarela demi memelihara maruah institusi.

Satu lagi ialah sistem mereka yang menghalang amalan Amakudari amat wajar dicontohi oleh Malaysia.

Di Jepun, tindakan pegawai tinggi kerajaan yang bersara terus menceburi sektor korporat dengan hadiah kerusi lembaga pengarah syarikat swasta dalam bidang yang pernah ada kaitan dengan tugas rasminya memang dilarang dengan keras.

Tetapi, hal sebegini semacam amalan biasa di Malaysia.

Memang kena pada tempatnya NIES menitikberatkan contoh pembudayaan integriti dalam kalangan kanak-kanak di Jepun dan Korea Selatan. Pembudayaan integriti dalam kalangan kanak-kanak di sana sungguh istimewa dan berkesan.

Nilai-nilai yang disemai dalam kalangan kanak-kanak itu memang dilakukan juga di Malaysia melalui falsafah JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek), tetapi apa yang tidak dilakukan secara teratur di Malaysia ialah pendidikan karakter yang mengasuh diri melalui kerja pembersihan dan kerapian bahawa kerja mencuci dan membersihkan itu suatu amalan yang mulia mengasuh diri menjadi rendah hati, cermat dan rapi serta menghormati alam sekeliling.

Alam sekeliling ini termasuk rumah, sekolah sendiri, tempat permainan dan tempat awam perlu dihormati dengan menyayanginya, menjaga kebersihan dan kerapiannya.

Contoh perbuatan mengatur barang-barang mereka seperti kasut dan sebagainya dengan rapi sekali itu menunjukkan karakter yang baik kanak-kanak itu.

Menjaga kebersihan dan kerapian di persekitaran luar itu harus dilihat sebagai pencerminan kebersihan dalam diri peribadi, di mana nilai-nilai murni dihayati dengan baik dan berkesan sehingga membentuk akhlak atau karakter seseorang kanak-kanak yang dibawa dalam proses pendewasannya.

Bagi Singapura yang memang antara negara yang telah mencapai tahap tertinggi dari segi kecekapan pentadbiran awam dan pembanterasan rasuah, dimensi ini yang lebih menonjol.

Selain pelaksanaan tugas dengan teliti, bertanggungjawab dan berkesan, Singapura amat tegas terhadap penyelewengan rasuah dan salah guna kuasa.

Mereka memastikan struktur gaji yang amat kompetitif bagi sektor awam untuk menarik bakat terbaik dan bagi mematahkan desakan rasuah sara hidup. Di samping itu, kecekapan pentadbiran ditingkatkan ke tahap maksimum menerusi digitalisasi yang meniadakan keperluan khidmat orang tengah.

Sementara digitalisasi memang dilaksanakan di Malaysia, mewujudkan sistem gaji seperti di Singapura hanya satu impian yang masih jauh, bergantung kepada keadaan ekonomi dan kewangan dalam negara.

Pada hemat saya, apa yang mendesak dipelajari dari Singapura ialah menyediakan barisan kepimpinan perkhidmatan awam yang cekap dan kalis rasuah untuk menerajui transformasi sektor awam khasnya meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam.

Apa yang disarankan dalam NIES bahawa “Program Kepimpinan Perkhidmatan Awam (PSLP) merupakan laluan kepimpinan utama yang direka untuk mengenal pasti, memupuk dan membangunkan pemimpin berpotensi tinggi yang akan membentuk masa depan” dan program ini harus “memastikan pemimpin dipilih berdasarkan bakat, nilai dan rekod integriti” memang tepat dan amat sesuai sekali.

Bahkan bagi Malaysia, tumpuan melatih dan memupuk kepimpinan berpotensi tinggi itu harus dilakukan secara berpadu, konsisten dan bersinambung, supaya hasilnya menambah nilai tinggi kepada kepimpinan pertadbiran negara.

Dan untuk itu juga, ia harus bermula jauh lebih awal, misalnya, sejak usia akhir 30-an dan awal 40-an, seupaya mereka mempunyai masa mempelajari selok belok pentadbiran dan tugas pelaksanaannya dengan baik sebelum mereka memikul tanggungjawab yang lebih besar nanti.

Ringkasnya, pengajaran kepada Malaysia daripada tiga contoh ini adalah jelas:

Kita boleh mengambil ketegasan penguatkuasaan struktural Singapura dan sistem latihan membina upaya barisan kepimpinannya, memanfaatkan cara Korea Selatan dan Jepun memupuk nilai-nilai integriti pendidikan karakter di sekolah dan membentuk ekosistem pendidikan yang melibatkan ibu bapa dan komuniti memang wajar dikaji dan dicontohi.

Selain itu, menyuntik nilai akauntabiliti serta budaya malu Jepun ke dalam sistem tata kelola dan budaya masyarakat Malaysia sangat perlu.

Kita harus dengan tuntas mengikis budaya tidak tahu malu dan tidak ada keinsafan walaupun melakukan rasuah dan salah guna kuasa yang teruk seperti tercermin dalam ungkapan “Malu Apa Bossku”.

Akhir Kata: Dua Cadangan

Untuk melaksanakan Strategi Pembudayaan Integriti secara berkesan, IIM perlu mendirikan Papan Pemuka Indeks Integriti, lebih-lebih lagi Papan Pemuka Masa Sebenar (Real-Time) dengan memanfaatkan teknologi AI.

Saranan ini bagi memastikan strategi pembudayaan ini lebih berkesan dan interaktif, agar IIM tidak semata-mata bergantung kepada kaedah konvensional penilaian indeks secara pasif.

Mengukur tahap integriti nasional atau agensi setiap dua tahun sekali merupakan satu tempoh yang terlalu lama dalam era ledakan data dan media sosial hari ini. Kita perlu lebih pantas supaya program dan tindakan bersifat proaktif, bukannya post-mortem setelah berlakunya ketirisan atau keruntuhan moral berlaku.

Kedua, sasaran supaya Malaysia memasuki kumpulan 25 teratas tertinggi di dunia dari segi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2030 harus dikaji semula. Sasaran ini tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata.

Kita harus belajar daripada kegagalan PIN 2004 yang pernah meletakkan sasaran kecemerlangan CPI menjelang 2008 melalui “TEKAD 2008” namun akhirnya gagal.

Oleh itu, adalah jauh lebih strategik, pragmatik, dan berwibawa bagi kerajaan untuk mengubah suai (recalibrate) sasaran ukuran CPI tersebut dan menganjakkan kepada tahun 2035.

Lonjakan menuju 2035 memberikan ruang pertumbuhan yang jauh lebih teratur dan mampan, di mana negara masih perlu mengekalkan momentum kenaikan konsisten sekitar 1.5 hingga 2 mata setahun dalam ukuran CPI.

Tempoh ini juga memberikan masa yang mencukupi bagi program dan pelan tindakan dalam Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) untuk matang, meresap ke dalam kurikulum dari pendidikan kanak-kanak sehingga ke pendidikan tinggi, dan melahirkan generasi baharu penjawat awam serta peneraju korporat yang benar-benar bersih daripada korupsi sistemik.

Pelancaran Strategi Pembudayaan Integriti Nasional oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan satu penegasan tekad politik yang wajar disokong sepenuhnya oleh segenap lapisan warga.

Namun, kita mesti sedar bahawa perjuangan menegakkan integriti bukan sebuah perlumbaan pecut jarak dekat; ia adalah sebuah larian jarak jauh atau marathon yang menuntut ketekalan stamina etika dan integriti.

Selepas lebih 22 tahun PIN 2004 berlalu, kita perlu mengambil kesempatan ini untuk menterjemahkan nilai integriti menjadi budaya nasional, digerakkan menerusi Strategi Serampang Dua Mata yang dinyatakan di atas secara berterusan dan tegas, demi memastikan masa depan Malaysia yang lebih bersih, bermaruah, dan sejahtera dengan reputasi yang harum di persada antarabangsa.

Oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman EmbongMantan Felo Utama Institut Integriti Malaysia (2015-2017) Dan Ketua Pasukan Penggubal Pelan Integriti Nasional (PIN) 2003-2004

UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN