Tapak masjid, surau di Perak diwarta Tanah Rizab Melayu

Tapak masjid, surau di Perak diwarta Tanah Rizab Melayu

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menetapkan semua tapak masjid dan surau dikeluarkan hak milik berdaftar serta diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu bagi menjamin keselamatan dan kelestarian aset umat Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi mempercepatkan urusan itu, kuasa meluluskan permohonan tapak rumah ibadat sedia ada telah diwakilkan terus kepada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Katanya, langkah itu merupakan pendekatan proaktif bagi mengelakkan pertikaian sempadan atau pertindihan hak milik seperti yang pernah berlaku membabitkan Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu.

“Kerajaan negeri melalui PTG dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sememangnya memandang serius isu pemilikan tanah institusi rumah ibadat.

“Sebagai langkah proaktif untuk mengelakkan pertikaian sempadan atau pertindihan hak milik, semua tapak-tapak masjid dan surau diukur secara halus, dikeluarkan hak milik berdaftar dan diwartakan sebagai Tanah Rizab Melayu,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu Masjid Al-Kurauwi di Batu Kurau, beliau berkata, tapak tersebut sebenarnya merupakan tanah rizab masjid yang telah diwartakan sejak tahun 1908.

Bagaimanapun katanya, bagi memperkemas status pemilikan di bawah Kanun Tanah Negara, MAIPk selaku pemegang amanah tunggal telah mengemukakan permohonan pemberimilikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Larut dan Matang pada 6 Oktober 2017.

“Permohonan tersebut telah diluluskan pada 8 Mac 2022 dan MAIPk telah menjelaskan sepenuhnya bayaran premium melalui Notis 5A pada 25 Mac 2022 dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kelewatan pengeluaran geran hak milik, Saarani berkata, perkara itu berpunca daripada proses teknikal penyempurnaan pewartaan kawasan tersebut sebagai kawasan Rizab Melayu.

“Proses ini memerlukan penyelarasan rapi antara beberapa agensi utama, iaitu pentadbiran tanah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi tujuan ukuran halus dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) untuk urusan warta rasmi.

“Hak milik berdaftar hanya dapat dikeluarkan sebaik sahaja proses pengisytiharan dan pewartaan kawasan Rizab Melayu tersebut dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri memberi jaminan bahawa usaha pemantauan dan penyelarasan untuk memperkasakan pengeluaran hak milik kepada MAIPk sedang dilaksanakan secara berterusan.

“Meskipun dokumen siar Warta Kerajaan sedia ada (tahun 1908) adalah sah untuk rujukan pembangunan, kerajaan tetap komited menyelesaikan proses pengeluaran geran hak milik Masjid Al-Kurauwi dan masjid-masjid lain di Perak bagi memastikan jaminan pemilikan yang lebih kukuh dan bersistematik,” katanya.

HABIS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN