IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diarah memeriksa dan memastikan pili bomba di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan berfungsi ketika kecemasan memadam kebakaran.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, terdapat 351,000 pili bomba milik kerajaan dan 65,000 milik swasta.
Menurutnya, sebanyak 337 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) telah menjalankan pemeriksaan pili bomba secara berkala, mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pemeriksaan pili bomba perlu dipertingkatkan supaya pili bomba dalam keadaan berfungsi, tekanan air yang cukup.
“Saya menyeru semua pihak supaya berwaspada, khususnya cuaca panas ketika ini akan meningkatkan risiko kebakaran.
“Semalam tokong dekat Sungai Petani terbakar. Kelmarin kedai runcit di Ayer Tawar juga terbakar sehingga pemilik kedai berusia 90 tahun meninggal dunia.
“Oleh kerana itu sangat penting semua pihak berwaspada mengambil langkah-langkah pencegahan kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pasar Pasir Puteh di sini, yang musnah terbakar dalam kejadian tengah malam semalam.
Sementara itu, Kor Ming berkata, Pasar Awam Pasir Puteh yang berusia 67 tahun musnah terbakar semalam, menyebabkan 70 peniaga di situ hilang pendapatan.
Katanya, bagi meringankan beban peniaga, bantuan kecemasan RM1,500 kepada setiap peniaga.
“Saya meminta pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta JBPM Perak mengemukakan laporan punca kebakaran ini,” katanya.
Menurutnya, MBI juga diminta mengemukakan laporan serta cadangan untuk pembinaan semula pasar awam Pasir Puteh dalam masa yang terdekat.
“Kita akan cuba bantu peniaga dan pasar, sama ada bila dan macam mana pasar baharu ini akan dibina, saya akan tunggu laporan,” katanya. – UTUSAN










