Di jalanan pun, mereka tetap seorang ibu

Di jalanan pun, mereka tetap seorang ibu

IBU gelandangan dan anak-anak memerlukan perlindungan, sokongan dan peluang untuk membina kehidupan yang lebih baik.- GAMBAR JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik kesibukan kota Kuala Lumpur, terdapat wanita yang menjadikan jalanan sebagai tempat meneruskan kehidupan. 

Ada yang tidur di kawasan awam, berpindah-randah dan bergantung pada bantuan untuk mendapatkan makanan.

Lebih menyentuh hati, sebahagian daripada mereka turut membawa anak-anak bersama walaupun kehidupan sendiri serba tidak menentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak-anak ini membesar dalam keadaan yang sukar. Tempat tidur yang berubah-ubah, persekitaran yang tidak selamat dan kekurangan keperluan asas menjadi sebahagian daripada kehidupan harian mereka. 

Dalam keadaan serba kekurangan, ibu tetap berusaha menjaga anak-anak mengikut kemampuan. 

Situasi ini memperlihatkan betapa beratnya tanggungjawab membesarkan keluarga tanpa tempat tinggal yang tetap.

Pengalaman mendekati golongan gelandangan melalui inisiatif Sudut Minda Sihat anjuran Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental (NCMW) dan PERTIWI membuka ruang untuk memahami cabaran mereka.

Ada wanita yang ditinggalkan suami, manakala sebahagian lagi kehilangan tempat bergantung tanpa mengetahui keberadaan pasangan. Akibatnya, mereka terpaksa memikul tanggungjawab membesarkan anak tanpa sokongan keluarga yang mencukupi.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila sesetengah wanita turut berhadapan dengan keganasan rumah tangga. Berdasarkan perkongsian semasa aktiviti bersama golongan ini, terdapat wanita yang mengalami penderaan fizikal oleh suami. 

Ada juga yang perlu menjaga pasangan yang sakit sambil mengurus keperluan anak-anak.

Jelaslah masalah gelandangan bukan sekadar berkaitan ketiadaan tempat tinggal, malah melibatkan keselamatan, hubungan kekeluargaan dan kesejahteraan emosi.

Dalam keadaan sedemikian, bantuan tidak seharusnya terhad kepada pemberian makanan, pakaian dan barangan keperluan harian. 

Wanita yang berdepan dengan penderaan atau kehilangan sokongan keluarga mungkin memerlukan tempat perlindungan, pemeriksaan kesihatan, bantuan kebajikan serta sokongan psikososial, iaitu bantuan yang mengambil kira kesejahteraan emosi dan hubungan sosial.

Pada masa sama, anak-anak perlu mendapat akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan persekitaran yang selamat.

Keperluan ibu dan anak perlu ditangani secara bersama kerana kedua-duanya menjalani kehidupan dalam keadaan yang saling berkaitan.

Ibu memerlukan sokongan untuk menjaga keluarga, manakala anak-anak bergantung pada penjagaan tersebut untuk membesar dengan baik. 

Jika ibu terus berhadapan dengan tekanan tanpa bantuan yang sesuai, usaha menyediakan kehidupan lebih stabil kepada anak-anak juga menjadi semakin sukar.

Melalui inisiatif Sudut Minda Sihat, saya semakin memahami pentingnya mendekati golongan gelandangan dengan mesra, berhemah dan tanpa menghakimi. 

Setiap individu mempunyai pengalaman tersendiri. Oleh itu, mereka perlu diberikan ruang untuk berkongsi mengikut keselesaan masing-masing. Pengalaman berkaitan keluarga dan penderaan merupakan perkara peribadi yang tidak boleh dipaksa untuk diceritakan.

Kepercayaan perlu dibina dengan menghormati privasi serta pilihan mereka. Sukarelawan boleh memberikan sokongan awal dan membantu menghubungkan individu dengan perkhidmatan yang diperlukan. 

Namun, penilaian dan rawatan berkaitan kesihatan mental perlu dilakukan oleh petugas profesional yang berkelayakan.

Kerjasama antara agensi kebajikan, institusi kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting bagi memastikan bantuan disampaikan secara teratur. 

Bagi wanita yang mengalami penderaan, keselamatan diri dan anak-anak mesti diutamakan. Mereka juga memerlukan sokongan berterusan untuk mendapatkan tempat tinggal, menjana pendapatan dan membina kehidupan yang lebih stabil.

Sempena Bulan Kesihatan Mental pada Oktober ini, masyarakat wajar memberikan perhatian kepada wanita gelandangan yang terus memikul tanggungjawab menjaga anak walaupun berhadapan dengan pelbagai kesukaran. 

Ketabahan mereka tidak seharusnya menjadi alasan untuk membiarkan mereka mengharungi cabaran sendirian. 

Sebaliknya, keadaan ini perlu mendorong kita menyediakan bantuan yang lebih menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan mereka.

Kita mungkin melihat mereka sebagai gelandangan tetapi bagi anak-anak, mereka tetap seorang ibu. Mereka berhak mendapat perlindungan, keselamatan dan kehidupan yang bermaruah. 

Seorang ibu tidak sepatutnya terpaksa memilih antara melindungi anak-anak dengan menyelamatkan dirinya sendiri. 

Kedua-duanya memerlukan kehidupan yang selamat, dan memastikan perkara itu menjadi tanggungjawab kita bersama. -UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. JULIANA ROSMIDAH JAAFAR

Universiti Sains dan Teknologi Kuala Lumpur (KLUST)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini