Salurkan terus subsidi RM4,300 kepada pesawah

Salurkan terus subsidi RM4,300 kepada pesawah

SEORANG pesawah, Yusri Yusof, 60, melakukan kerja-kerja bendang di Kampung Alor Redis, Kangar, Perlis, semalam. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pesawah menggesa kerajaan menyalurkan subsidi ber­nilai kira-kira RM4,300 sehektar berbentuk wang tunai terus kepada pesawah, sekali gus mampu membantu meringankan beban golongan tersebut yang berdepan kenaikan kos penanaman padi.

Seorang pesawah, Mohd. Zaidi Nasir, 36, berkata, langkah tersebut mampu memberi manfaat menyeluruh kepada mereka selain mengelak sebarang ketirisan.

Katanya, peruntukan yang merangkumi pelbagai bentuk bantuan termasuk baja, racun dan benih meskipun telah diberikan subsidi, namun pesawah terpaksa membeli input tersebut dengan harga mahal khususnya benih.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau boleh, biarlah subsidi yang ber­nilai kira-kira RM4,300 sehektar yang diumumkan kerajaan itu disalurkan terus kepada pesawah.

“Jika tidak, pesawah sebenarnya masih terpaksa menanggung sebahagian kos penanaman menggunakan wang sendiri.

“Selepas menanggung kerugian akibat kelewatan baja sebelum ini, kebanyakan pesawah sudah tidak lagi mampu menanggung beban bagi memulakan tanaman musim baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan, biarpun peruntukan kerajaan untuk sektor hasil padi negara meningkat saban tahun termasuk sebanyak RM2.62 bilion untuk tahun hadapan namun nasib pesawah tidak pernah berubah.

Pesawah sebenarnya masih perlu menanggung sebahagian kos penanaman menggunakan
wang mereka sendiri selain terpaksa berdepan pelbagai masalah lain

Ia terutamanya melibatkan ke­lewatan bekalan baja, benih yang didakwa tidak berkualiti dan tunggakan insentif sehingga memberi impak teruk kepada pendapatan mereka.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Osman Zubir, 34, berkata, pesawah menghargai bantuan RM4,300 yang diumumkan kerajaan, namun persoalannya sejauh mana ia benar-benar membantu meningkatkan pendapatan pesawah.

Katanya, peruntukan tersebut adakah cukup membantu pesawah dalam menanggung kos membajak, benih, baja, racun, menuai dan pelbagai perbelanjaan lain yang semakin tinggi.

“Jika hasil padi tinggi, mungkin pendapatan lebih baik namun jika hasil merosot akibat masalah air, cuaca atau serangan penyakit, adakah pendapatan diperoleh itu berbaloi.

“Kita mahu bantuan tersebut benar-benar berkesan bukan sekadar mengumumkan peruntukan dengan jumlah yang besar semata-mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini