PETALING JAYA: Penyanyi, Syamel tidak berhasrat bersemuka dan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan fitnah terhadap isterinya, Ernie Zakri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, katanya, individu tersebut tidak layak diberi perhatian, masa dan komitmen malah dia serta isteri enggan mengambil peduli kenyataan fitnah yang disebarkan.
“Sebenarnya, sebelum, selepas malah sehingga kini, kami menerima banyak mesej yang berbentuk sedemikian. Tetapi sekarang ‘mereka’ sudah mula kacau peminat.
Ada dalam kalangan mereka juga mula menyebarkan dakwaan yang lebih agresif. Saya dan Ernie sebenarnya tak nak ambil tahu dan melayan.
“Apatah lagi bersemuka dan ambil tindakan undang-undang. Semua itu perlukan masa dan komitmen. Dia tak layak pun menerima perhatian, masa dan komitmen kami,” ujarnya.
Terdahulu nama Ernie terpalit kontroversi selepas pemuzik, Anwar Amzar berkongsi tangkap layar seorang individu menuduhnya menjalin hubungan dengan penyanyi itu.
Bagaimanapun, Anwar dan Ernie menafikan fitnah yang disebarkan tersebut serta menganggap itu propaganda jahat yang sengaja dicipta.
Malah, penyanyi Astana itu turut mendedahkan sudah empat tahun menjadi mangsa gangguan seorang individu dalam media sosial.
Dalam pada itu, Syamel menasihatkan peminat supaya tidak terpedaya dengan pelbagai fitnah merepek yang sengaja disebarkan untuk menjatuhkan nama baik mereka.
“Kadangkala saya bersangka baik sahaja. Mungkin individu itu terlalu meminati kami dan menganggap kami adalah kepunyaan mereka.
“Tetapi peminat jangan termakan atau tergoda dengan fitnah sedemikian. Jangan layan dan beri masa kita untuk orang sebegitu.
“Kepercayaan antara saya dan Ernie teguh. Kami saling mengingati, itu sudah mencukupi. Kalau hati busuk tak mahu doakan kebahagiaan orang lain, diam sahaja,” katanya. – UTUSAN










