DUNIA artis diselubungi glamor, kemewahan dan keindahan yang memukau pandangan mata khalayak. Dalam era media sosial dan teknologi digital, kehidupan artis bukan sahaja diperhatikan sewaktu mereka muncul di layar kaca atau pentas hiburan, bahkan turut dikejar-kejar di ruang maya, dibedah siasat oleh jutaan mata yang ingin tahu setiap inci gerak-geri mereka.
Namun, di sebalik semua itu, timbul fenomena yang semakin membimbangkan, iaitu makin nipisnya garis sempadan antara dunia realiti dan fantasi dalam kehidupan artis. Fenomena ini bukan sekadar berlaku dalam watak lakonan mereka di layar tetapi sudah menjalar ke dalam kehidupan peribadi, pemikiran dan identiti diri.
Sebahagian besar artis hidup dalam tekanan untuk mengekalkan imej sempurna yang digambarkan oleh peminat dan media. Mereka digambarkan sebagai figura serba boleh, menawan, sentiasa bergaya dan penuh aura. Sedangkan pada hakikatnya, mereka juga manusia biasa yang punya kelemahan, masalah dan tekanan hidup.
Keperluan untuk sentiasa on point menyebabkan ramai yang akhirnya mula mencipta dunia fantasi tersendiri yang selari dengan kehendak peminat dan industri hiburan. Dunia itu akhirnya menjadi tempat mereka berlindung, mengaburkan sempadan antara diri sebenar dengan siapa yang mereka mahu tunjukkan kepada dunia.
Dunia fantasi ini bukan sekadar lakonan di hadapan kamera. Ia menjelma dalam bentuk gaya hidup, pemakaian, percakapan, bahkan dalam interaksi sosial artis di platform digital. Pereka imej, pengurus publisiti, penulis skrip dan penganalisis trend akan membentuk ‘watak’ untuk artis, seolah-olah mereka hidup sebagai karakter tertentu yang perlu dijaga 24 jam sehari.
Dalam jangka panjang, ada antara artis yang terperangkap dalam persona yang dibina sehingga tidak lagi dapat membezakan antara tuntutan kerjaya dengan keperluan jiwa. Inilah yang menjadikan garis sempadan antara realiti dan fantasi semakin kabur.
Tambahan pula, peminat sendiri menyumbang kepada fenomena ini. Mereka terlalu obses dengan kehidupan peribadi artis, memuja setiap aspek kehidupan yang dipaparkan tanpa menyedari apa yang ditonton dan diikuti hanyalah ‘persembahan’ yang direka.
Komentar yang ditinggalkan, tekanan untuk tampil sempurna serta keinginan peminat agar artis terus memenuhi fantasi mereka menjadikan artis hidup dalam tekanan untuk mengekalkan standard yang mustahil dicapai. Akibatnya, ramai artis memilih untuk ‘menghidupkan’ watak mereka secara kekal demi kelangsungan kerjaya.
Lebih menyedihkan, ramai artis akhirnya mengorbankan nilai-nilai kehidupan sebenar. Mereka tidak lagi jujur terhadap diri sendiri, berlakon menjadi seseorang yang tidak mereka kenali. Ada yang kehilangan pegangan hidup, terperangkap dalam budaya hedonisme, bahkan sanggup mencuba pembedahan plastik, ubat penenang atau melakukan aksi ekstrem demi mengekalkan ‘fantasi’ yang digilai ramai. Ada juga yang akhirnya mengalami kemurungan kerana tidak lagi mampu mengekalkan dua dunia yang berbeza dalam satu tubuh.
Media sosial mempercepatkan lagi hakisan garis sempadan ini. Kehidupan mereka dikongsi secara langsung dari sudut makan, berpakaian, melancong, bersenam, hinggalah kepada soal keintiman rumah tangga. Apabila terlalu banyak perkara peribadi dikomersialkan, maka batas antara apa yang benar dan rekaan semakin kabur. Realiti menjadi sekadar bahan tontonan yang dijenamakan semula mengikut cita rasa pasaran.
Perlu diakui, bukan semua artis terperangkap dalam dunia fantasi ini. Ada yang berani bersuara, mempertahankan kehidupan sebenar mereka dan enggan tunduk kepada tekanan industri hiburan. Namun, jumlah mereka sangat kecil dan sering kali dilihat sebagai ‘kurang laku atau ‘tidak komersial’ oleh industri. Dalam dunia yang dikuasai oleh algoritma dan populariti, artis yang memaparkan realiti akan kalah kepada mereka yang sanggup hidup dalam fantasi. Ini merupakan ironi yang tragik dalam dunia seni yang sepatutnya meraikan kejujuran dan ekspresi diri.
Impak daripada fenomena ini bukan sahaja menimpa artis, malah turut menular kepada masyarakat, khususnya golongan muda yang menjadikan artis sebagai idola. Ramai remaja keliru antara fantasi yang dipaparkan artis dengan realiti kehidupan. Mereka mula menetapkan piawaian hidup berdasarkan imej yang ditampilkan artis, tanpa menyedari semua itu telah melalui proses suntingan, skrip dan penjenamaan semula. Mereka akhirnya membandingkan hidup sendiri dengan ‘hidup palsu’ artis dan merasa rendah diri, tidak cukup cantik, tidak cukup kaya dan tidak cukup sempurna.
Justeru, sudah tiba masanya masyarakat, media dan artis itu sendiri bermuhasabah terhadap sempadan antara realiti dan fantasi ini. Artis perlu diberi ruang untuk menjadi manusia biasa yang mampu jatuh, gagal dan bangkit semula tanpa dipersenda atau dihukum. – UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










