‘Saya pernah diherdik, dilempar skrip’

‘Saya pernah diherdik, dilempar skrip’

Siti Khadijah Halim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya dimarah, diherdik. Saya pernah dilempar skrip.”

Demikian kata pelakon, Siti Khadijah Halim yang mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa buli dalam kala­ngan kru produksi sewaktu awal penglibatannya sebagai anak seni.

Katanya, topik hangat yang kini menjadi bualan penggiat industri seni itu boleh berlaku di mana-mana sahaja bahkan setiap individu pernah me­ngalami situasi sama dalam sedar atau tidak.

“Di mana-mana pun buli boleh berlaku di tempat kerja, sekolah atau universiti. Maksud saya, secara tidak langsung kalian pernah membuli atau dibuli.

“Saya pun tak mahu cakap besar sebab mungkin saya ada buat salah dekat orang tapi saya tidak sedar. Orang pun pernah buat salah dekat saya, saya maafkan dia walaupun sampai sekarang rasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Siti Khadijah, dia bersyukur semangat kental membuatkan dirinya terus bertahan di kedudukannya kini malah sudah tidak gentar untuk mempertahan mangsa buli jika perkara tersebut berlaku di depan matanya.

“Pada saya, kelakarlah bila di tempat kerja pun dibuli sebab sepatutnya semua orang matang. Tapi saya faham saja mungkin saya masih baru ketika itu.

“Saya pernah disimpan di set satu hari sebab katanya ada babak yang saya perlu lakonkan, tapi tidak ada. Kena maki itu perkara biasa tapi tak patut dibiasakan. Mujur, saya dibesarkan menjadi seorang yang kental. Saya di­didik untuk bertahan, kalau tidak mungkin saya tiada di sini.

“Segala pengalaman itu menjadikan diri saya sekarang yang tidak mudah putus asa, walaupun menangis tetapi saya bangun balik. Saya harap benda ini tidak dinormalisasikan dan dihentikan.

“Kalau saya nampak orang dibuli pun saya akan pertahankan orang itu. Benda ini berlaku dalam kalangan kru sahaja. Itulah kali terakhir saya bekerja dengan dia,” katanya.

Ditanya sama ada dia pernah meluahkan perkara itu di platform media sosial, pelakon drama bersiri From Saga With Love itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah kurang bijak kerana berkemungkinan ada pihak yang akan mentertawakan kejatuhannya.

“Mungkin dulu saya pernah meluahkan dalam media sosial. Tetapi saya rasa itu langkah kurang bijak. Jangan pernah uar-uarkan kesedihan kita kepada umum sebab ada orang yang suka tengok kita merana.

“Kongsikan perkara manis sahaja. Saya pernah buat perkara itu suatu ketika dulu tapi bila saya kongsikan kesedihan itu, orang mula bertanya. Dari situ saya sedar, saya jadi tumpuan umum.

“Apa yang saya buat, kalau perlu menangis, menangis. Marah saja dekat tembok. Kalau marah, luahkan. Kalau sedih, menangis. Kalau suka cinta, bagi tahu. Jangan pernah simpan sebab itu akan mengganggu minda kita,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN