Tunggu siasatan selesai sebelum lantik peguam

Keluarga penyanyi terkenal Kelantan tunggu siasatan selesai sebelum lantik peguam

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Keluarga kepada penyanyi tersohor Kelantan yang ditahan bersama 6,000 biji pil kuda di Golok, Thailand pada 2 November lalu menunggu hasil siasatan terlebih dahulu sebelum melantik peguam bagi mengendalikan kes berkenaan.

Seorang daripada ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, hasil siasatan akan dijadikan sebagai panduan sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Keluarga tidak mahu membuat percaturan yang salah dalam melantik peguam. Kami mahu peguam yang betul-betul faham dengan kes tersebut dan boleh berbahasa Melayu dengan baik bagi memudahkan urusan.

“Semua keluarga yang terlibat sudah membuat kumpulan WhatsApp berkongsi maklumat terkini berkait dengan kes tersebut. Buat masa ini, semua berpandangan sama iaitu me­nunggu hasil siasatan sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurut ahli keluarga pe­nyanyi itu, mereka meminta semua pihak tidak membuat sebarang andaian yang boleh menimbul persepsi negatif.

“Besar harapan kami supaya setiap kali soal siasat yang dilakukan ada keputusan positif yang diperoleh sekali gus membolehkan kes ini diselesaikan segera,” ujarnya.
Katanya, mereka akan berjumpa dengan penyanyi ber­kenaan hari ini untuk bertanya khabar.

“Setiap malam kami berdoa semoga kes selesai dengan kadar segera dan dia (penyanyi) boleh kembali ke pangkuan keluarga sebaik sahaja tamat tempoh tahanan reman,” ujarnya.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, keluarga kepada enam rak­yat Malaysia terma­suk seorang penyanyi lagu dialek Kelantan boleh mengupah peguam bagi mengendalikan kes mereka selepas ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, minggu lalu.

Ahli Parlimen Narathiwat Bilal Mat Yusoff berkata, undang-undang membenarkan mana-mana individu untuk mengupah peguam bagi mengendalikan kes tersebut.

“Mana-mana kes kesalahan lain pun sama, individu terlibat mendapatkan khid­mat peguam untuk mem­bela mereka,” katanya.

Mah­kamah Wilayah Narathiwat memerintahkan tahanan reman sehingga tiga bulan atau 84 hari ke atas enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi lagu dialek Kelantan wanita Kelantan selepas ditangkap memiliki 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu.

Menurut sumber, susulan perintah itu, kesemua suspek dipindahkan ke penjara Narathiwat bagi membolehkan polis meneruskan siasatan lanjut kes berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN