PETALING JAYA: Kos produksi industri kreatif tempatan semakin tertekan apabila bayaran kos operasi melonjak lebih tinggi susulan keadaan semasa di samping bayaran menghasilkan telefilem yang masih statik.
Penerbit Eksekutif Radius One Sdn. Bhd., Hisham A Karim berkata, kebanyakan pelakon-pelakon utama menerima bayaran sebanyak 10 peratus daripada bajet diperuntukkan.
“Pelakon utama biasanya menerima 10 peratus daripada bajet yang diperuntukkan dan sekiranya dua orang pelakon utama diperlukan, sebanyak 20 peratus potongan dilakukan daripada bajet tersebut.
“Harga artis pula semakin lama, semakin naik. Dulu kami hanya membayar sekitar RM8,000 ke RM9,000 sahaja. Tetapi, sekarang kami perlu merayu untuk dapatkan harga sebegitu. Paling mahal kami pernah bayar adalah sebanyak RM20,000.
“Kalau syarikat baru, mahu tak mahu mereka perlu ambil artis besar. Bila ambil artis besar, kos jadi tinggi dan itu yang mereka perlu tanggung. Tapi dalam masa sama, itu juga cara untuk mereka ‘buktikan’ kemampuan produksi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Hisham, ketidaktentuan ekonomi global juga memberi tekanan kepada pihak produksi kerana lori dan van diperlukan untuk kegunaan logistik.
“Kebanyakan produksi mempunyai lori dan van yang memerlukan diesel. Tangki yang penuh memakan jumlah RM380. Kami mempunyai empat van dan perkara ini amat mencabar untuk kami kerana penggambaran tidak dilakukan di satu tempat sahaja dan memerlukan kenderaan untuk bergerak,” katanya.
Dalam pada itu, Hisham berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kesan visual (VFX) kini semakin menjadi keperluan dalam produksi moden, namun ia turut memberi kesan langsung kepada peningkatan kos penerbitan.
“Sekarang kita bukan sahaja guna AI, tetapi juga VFX untuk naikkan kualiti visual. Itu semua ada kos tambahan. Untuk satu projek, kos tambahan itu boleh cecah puluhan ribu ringgit.
“Bila kita guna AI, ia bukan percuma. Kita guna sistem yang berbayar, bukan versi asas. Lepas itu kena sambung pula dengan VFX untuk kemasan akhir. Jadi kos dia memang meningkat.
“Kalau produksi besar, mereka boleh guna secara lebih meluas. Tapi kalau bajet kecil, kita kena pilih babak tertentu sahaja sebab kos dia tinggi,” katanya. – UTUSAN










