KUSKOP sasar penjimatan RM20 juta, fokus kurangkan kos operasi

KUSKOP sasar penjimatan RM20 juta, fokus kurangkan kos operasi

STEVEN Sim Chee Keong (dua dari kanan) menunjukkan antara barangan yang dijual pada harga subsidi sempena program JMKU di Dewan Terbuka Taman Tanjung Aman, Butterworth, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan untuk melakukan penjimatan sebanyak RM20 juta pada tahun ini sebagai tanda sokongan terhadap langkah kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah ekoran ketidaktentuan ekonomi global pada masa ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, penjimatan itu bagaimanapun tidak melibatkan perbelanjaan pembangunan atau kebajikan untuk rakyat, tetapi, lebih tertumpu kepada usaha untuk mengurangkan kos operasi yang terpaksa ditanggung oleh pihak kementerian sebelum ini.

“Saya telah menjelaskan perkara ini bagi mengelakkan berlakunya salah faham kerana ada pihak yang ingat kita potong belanjawan untuk jaga rakyat dan sebagainya.

“Tidak. Ini sebenarnya penjimatan dari segi pengurusan operasi sahaja. Sebagai contoh, majlis-majlis keramaian dan kenduri, kita tidak galakkan untuk diadakan pada tahun ini. Kalau boleh, kita tak mahu anjurkan majlis besar-besar.

“Begitu juga dengan program-program perjalanan ke luar negara. Kalau boleh, kita kurangkan. Mesyuarat pun kalau kita boleh buat secara ‘online’ (dalam talian), kita buat ‘online’ sahaja dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika menghadiri program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU) di Dewan Terbuka Taman Tanjung Aman di sini, hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze.

Pada majlis yang sama, Syn Tze turut menyampaikan Sijil Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) atau Lindung Kasih Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada 70 orang suri rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Puyu dengan jumlah penajaan caruman sebanyak RM8,000.

Sementara itu, Steven berkata, tidak ada garis masa bagi penganjuran program seperti JMKU buat masa ini, namun, segala-galanya bergantung kepada keupayaan kewangan daripada pihak kementerian memandangkan hampir semua barangan yang dijual dalam program tersebut mengikut harga subsidi.

“Jadi, kita perlukan bantuan juga daripada pihak-pihak lain seperti Angkasa (Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad), SKM (Suruhanjaya Koperasi Malaysia) dan sebagainya (untuk menjadi penganjur bersama).

“Penganjuran ini memang melihat kepada peruntukan dan belanjawan yang tersedia. Tetapi, target saya ialah, kalau boleh kita nak pastikan program tersebut dianjurkan sepanjang tahun ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN