Lima kenderaan hampir musnah dalam kebakaran

Lima kenderaan hampir musnah dalam kebakaran

KEADAAN sebahagian daripada kenderaan yang musnah dalam satu kebakaran di sebuah tempat letak kereta di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Jelutong, Pulau Pinang, hari ini.-GAMBAR/JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Lima buah kenderaan dilaporkan hampir musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di kawasan letak kereta di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Jelutong, awal pagi tadi.

Antara kenderaan yang teruk terjejas dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi itu ialah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander dan van jenis Toyota Hiace yang kedua-duanya mengalami tahap kemusnahan sehingga 80 peratus.

Turut terjejas ialah sebuah Perodua Myvi dengan 60 peratus kesan kemusnahan, Nissan Grand Livina (10 peratus) serta sebuah Proton Preve yang mengalami tahap kemusnahan sebanyak lima peratus.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak telah dikerah ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Selain kenderaan, kebakaran itu turut melibatkan sebahagian struktur garaj dengan anggaran kemusnahan kira-kira 50 peratus. Api bagaimanapun berjaya dikawal tidak lama selepas itu sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 5.09 pagi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambah beliau, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan kes telah diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan lanjut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN