Perak angkat jenama ikan tempatan setanding Ikan Pahang - Utusan Malaysia

Perak angkat jenama ikan tempatan setanding Ikan Pahang

MOHD. Zolkafly Harun (dua dari depan) dan Mohd. Ghazali A. Manap (tengah) melepaskan benih ikan air tawar ke dalam Sungai Perak di R&R Sungai Perak dekat Kuala Kangsar, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sebagai negeri pengeluar dan penyumbang pendaratan ikan terbesar di Malaysia, Perak mahu mengangkat jenama Ikan Perak sebagai hidangan kepada orang ramai.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd. Ghazali A. Manap berkata, beberapa jenis ikan yang didaratkan terutamanya di Sungai Perak seperti temoleh mahu dipopularkan.

Katanya, usaha itu termasuk dengan cara mempelbagaikan jenis masakan seperti masakan ala Cina selain menu tradisi Ikan Pindang Daun Seniar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, Jabatan Perikanan juga mahu menjadikan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sebagai lokasi terkenal untuk menjamu Ikan Perak.

Jelasnya, idea itu mahu mencontohi kejayaan R&R Temerloh di Pahang yang popular dengan masakan Ikan Pahang terutama patin.

“Kenapa tidak perkara yang baik ini kita kembangkan untuk negeri Perak, sebab Perak merupakan pengeluar utama ikan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis peluncuran Fiesta Ikan Perak Tahun 2026 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun di R&R Sungai Perak dekat sini hari ini.

Semasa majlis itu juga, lebih 10,000 ekor benih ikan baung dan temoleh dilepaskan ke Sungai Perak dalam usaha meningkatkan populasi spesies tersebut.

Mohd. Ghazali berkata, usaha berterusan dijalankan oleh Jabatan Perikanan bagi memburu ikan asing agar tidak menjejaskan hidupan asal di Sungai Perak sehingga menggugat ekosistem dan sumber tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini