PETALING JAYA: Pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) tidak bermakna parti-parti komponennya turut terbubar secara automatik kerana kedudukan setiap parti adalah berasingan.
Timbalan Presiden Parti Wawasan Negara (Wawasan), Datuk Tan Lek Khang berkata, sebarang langkah seterusnya perlu ditentukan berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kita juga perlu memahami bahawa pembatalan pendaftaran PN tidak bermaksud parti-parti komponennya terbubar secara automatik.
“Kedudukan setiap parti merupakan perkara yang berasingan, manakala langkah seterusnya perlu ditentukan berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Lek Khang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi yang menggantung notis Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung pembatalan pendaftaran PN.
Katanya, keputusan berkenaan turut membolehkan lambang PN digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
“Keputusan itu merupakan perkembangan penting dalam memastikan hak semua pihak terus dipelihara melalui proses undang-undang sewajarnya.
“Saya ingin menegaskan bahawa Wawasan berdiri teguh bersama Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam mempertahankan prinsip keadilan, keluhuran undang-undang dan demokrasi yang sihat.
Semalam, PN boleh meneruskan persiapan bagi bertanding pada PRN Melaka menggunakan nama dan logonya selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan penggantungan notis RoS terhadap gabungan itu.
“Kuasa tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya, manakala undang-undang tidak boleh dijadikan alat untuk menekan pihak yang berbeza pandangan,” katanya.
Beliau berkata, setiap keputusan yang memberi kesan besar kepada perjalanan politik negara perlu berasaskan proses yang jelas, adil dan boleh dipertanggungjawabkan.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi itu memberi ruang kepada proses undang-undang untuk diteruskan dan setiap pihak perlu diberikan peluang sewajarnya bagi mempertahankan hak masing-masing.
“Saya turut meminta seluruh ahli dan penyokong Wawasan supaya kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan spekulasi susulan perkembangan berkenaan.
“Bagi Wawasan, tanggungjawab kita kepada rakyat tetap menjadi keutamaan. Kita bukan sekadar sebahagian daripada sebuah gabungan politik, tetapi sebuah parti yang mempunyai prinsip, pendirian dan tanggungjawab tersendiri untuk membawa suara rakyat serta menyumbang kepada masa depan negara.
“Keputusan boleh dicabar melalui undang-undang, tetapi tanggungjawab kita kepada rakyat tidak boleh terhenti,” katanya.-UTUSAN











