PETALING JAYA: Seramai sembilan individu berusia antara 18 hingga 44 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang, Geng Yunaa.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dalam satu kenyataan semalam, Geng Yunaa terbabit dalam kegiatan pelacuran membabitkan kanak-kanak bawah umur, remaja tempatan dan warga asing di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur.
Pada prosiding hari ini, mereka yang didakwa ialah Lai Kok Hoe, 38; Tham Yong Zhi, 34; Seah Joon Kiat, 43; Mohammad Joshua Salman, 21; Mohd Amrul Naim Mohd Asbie Syaifullah Abdullah, 18; dan Mohamed Amirul Mohamed Razali, 24.
Turut didakwa ialah Nur Suhada Benjamin Abdullah, 23; Nuraslinda Natasha Hanafi, 20; dan Aiman Muna Mohamed Razali, 21.
Kesemua tertuduh dikawal ketat oleh sepasukan anggota polis ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Yunaa’ di Centrestage di sini antara Januari 2025 hingga 25 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail memaklumkan mahkamah bahawa kes yang dipertuduhkan hari ini tergolong dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Pada prosiding hari ini, Joon Keat diwakili peguam bela, Kailash Sharma manakala Kok Hoe dan Yong Zhi diwakili peguam bela, Kelvin Francis. Enam lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Dr Syahliza Warnoh kemudian menetapkan 7 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Semalam, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan ‘Geng Yunaa’ yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks menerusi Ops Angel di Lembah Klang pada 24 hingga 26 September lepas.
Menurut kenyataan itu, kumpulan yang aktif sejak awal 2024 itu terdiri daripada 10 orang berusia lingkungan 18 hingga 44 tahun dengan diketuai seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun.
Kumpulan terbabit mampu memperoleh pendapatan RM15,000 sehari atau RM450,000 sebulan, bersamaan RM5.4 juta setahun hasil aktiviti haram itu.-UTUSAN











