Hasil harumanis Perlis dijangka cecah 2,000 tan

Hasil harumanis Perlis dijangka cecah 2,000 tan

RAZALI Saad melihat perkembangan pengeluaran harumanis di kawasan projek kelompok di Bohor Janggus, Kangar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengeluaran mempe­lam harumanis musim ini dijadual bermula seawal ming­gu ketiga Mac depan dijangka mencecah 2,000 tan metrik, sekali gus menunjukkan pe­ningkatan ketara berbanding tahun lalu iaitu sekitar 1,243 tan metrik.

Sasaran tersebut berdasarkan potensi pengeluaran bunga pokok harumanis sebanyak 70 peratus ketika ini manakala 30 peratus pokok lagi sedang berpucuk.

Peningkatan itu berikutan cuaca panas berterusan yang melanda berbanding tahun lalu apabila berlaku hujan ketika musim berbunga.

Keluasan kawasan tanaman harumanis di negeri ini adalah sebanyak 1,745.79 hektar manakala keluasan berhasil setakat Januari lalu sekitar 1,611.59 hektar membabitkan 2,693 pengusaha.

Pengerusi Jawatankuasa Per­tanian negeri, Razali Saad berkata, pengeluaran harumanis tahun ini dijangka bertambah apabila melihat kepada perkembangan pengeluaran bunga ketika ini.

Katanya, jika bulan depan pengeluaran bunga bertambah, hasil dijangka terus meningkat sekali gus berupaya menampung permintaan tinggi khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis.

“Setakat ini, hampir 70 peratus pokok harumanis sudah mengeluarkan bunga sementara 30 peratus lagi sedang berpucuk. Pokok harumanis mula mengeluarkan bunga pada awal Disember tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Razali berkata, pengusaha harumanis diga­lakkan melakukan penanaman secara berkelompok bagi me­ningkatkan hasil pengeluaran harumanis.

Katanya, langkah tersebut bagi membolehkan mereka berkongsi sumber dan pengetahuan, memperkuat hubungan antara pengusaha serta meningkatkan akses kepada sokongan teknikal dari agensi pertanian.

“Kita galakkan pengusaha tanam secara berkelompok bagi memudahkan mereka men­dapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dan mereka juga dapat mencapai hasil dengan skala lebih besar dan meningkatkan kemampuan untuk membeli input pertanian dengan harga lebih rendah,” ujarnya.

Katanya lagi, kira-kira 10 hingga 15 peratus pengusaha yang menanam harumanis secara persendirian di pekarangan rumah pula disaran membalut mempelam berkenaan dalam tempoh lapan minggu supaya kualiti buah terjamin.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Jabatan Pertanian akan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin bagi mengawal serangga perosak baharu yang dikenal pasti menyerang tanaman harumanis di beberapa lokasi di sekitar negeri ini.

“Jabatan Pertanian telah mengenal pasti serangga perosak baharu yang mampu menjejaskan kualiti harumanis di beberapa lokasi sekitar Perlis. Kita masih mengkaji serangga perosak itu kerana terdapat tiga kes iaitu dua di Bintong dan satu di Titi Tinggi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN