PETALING JAYA: ASEAN perlu mengekalkan hubungan seimbang dengan semua kuasa besar dunia tanpa mengorbankan kepentingan rantau ini dalam menghadapi persaingan geopolitik semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prinsip kesatuan dan autonomi strategik ASEAN perlu terus menjadi panduan dalam mengurus hubungan dengan kuasa besar bagi memastikan rantau ini kekal sebagai platform kerjasama, bukannya medan persaingan.
Katanya, sambutan ulang tahun ke-50 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) menjadi peringatan penting kepada negara anggota untuk memperkukuh semula prinsip asas perjanjian berkenaan.
“Dengan menghendaki rakan kerjasama kita mematuhi prinsip asas perjanjian ini, kita memastikan hubungan berkembang berdasarkan terma ASEAN, sekali gus melindungi rantau ini sebagai platform kerjasama, bukannya medan persaingan.
“Kesepusatan, kesatuan dan autonomi strategik ASEAN mesti kekal menjadi panduan perjalanan bersama kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada sesi pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina semalam.
Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang bertemakan ‘Menelusuri Masa Depan Bersama’ bermula semalam hingga Selasa.
Perdana Menteri diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada masa sama, Anwar menggesa ASEAN memastikan sumber biodiversiti rantau ini dimanfaatkan secara mampan dan saksama, selain dilindungi daripada eksploitasi serta penyalahgunaan oleh pihak luar.
Beliau menyifatkan perlindungan terhadap biodiversiti di Asia Tenggara sebagai satu perkara yang melibatkan kedaulatan serantau.
“Oleh itu, kita bertanggungjawab memperkukuh tadbir urus serantau, memastikan penggunaan sumber biodiversiti yang mampan dan saksama, serta melindunginya daripada eksploitasi dan penyalahgunaan oleh pihak luar.
“Melindungi biodiversiti ASEAN bukan sekadar satu keperluan alam sekitar, tetapi juga berkait dengan kedaulatan serantau,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata, ASEAN perlu membina keupayaan sendiri dalam pengeluaran makanan dan ubat-ubatan bagi mengelakkan rantau ini terus bergantung kepada pembekal luar.
Katanya, gangguan global sejak kebelakangan ini mendedahkan risiko kebergantungan kepada sejumlah kecil pembekal bagi mendapatkan barangan keperluan.
Katanya, setiap anggota perlu meningkatkan perdagangan sesama negara ASEAN melibatkan input pertanian seperti baja, benih dan makanan ternakan, selain memastikan bekalan keperluan asas dapat terus bergerak merentasi sempadan ketika krisis.-UTUSAN











