Pelabur yakin pasaran atau sekadar memburu untung segera?

Pelabur yakin pasaran atau sekadar memburu untung segera?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA lebihan langganan luar biasa bagi tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia sepanjang 2026 mencerminkan peningkatan minat pelabur runcit terhadap pasaran modal.

Namun persoalannya, adakah mereka benar-benar yakin terhadap potensi perniagaan syarikat atau sekadar memburu keuntungan segera pada hari pertama penyenaraian?

Beberapa IPO tahun ini mencatatkan lebihan langganan ratusan kali ganda, termasuk SRKK AI yang merekodkan 312.3 kali, dengan permohonan pelabur runcit berjumlah RM1.4 bilion bagi tawaran bernilai hanya RM20.48 juta pada harga 32 sen sesaham.

Memuatkan artikel berkaitan…

SUM Technology pula mencatatkan lebihan langganan 110.54 kali dengan permohonan berjumlah RM702.7 juta melibatkan 19,834 permohonan, manakala Stratus Global merekodkan lebihan langganan runcit 128.82 kali sebelum sahamnya melonjak 163.75 peratus pada hari pertama dagangan.

Dalam segmen IPO berskala besar, Big Caring mengumpul RM2.03 bilion, manakala Sunway Healthcare mencatatkan IPO terbesar dalam tempoh sembilan tahun dengan nilai RM2.86 bilion.

Perkembangan itu berlaku ketika ekonomi Malaysia menunjukkan asas makroekonomi yang relatif positif, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus, inflasi 1.8 peratus dan defisit fiskal yang menurun kepada 3.3 peratus.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bagaimanapun, sambutan luar biasa terhadap IPO tidak semestinya membuktikan keyakinan pelabur terhadap kemampuan syarikat menjana keuntungan secara konsisten, sebaliknya boleh dipengaruhi kekurangan bekalan saham, sentimen pasaran dan jangkaan keuntungan jangka pendek.

“Hakikatnya, angka lebihan langganan yang tinggi banyak dipengaruhi jumlah saham yang diperuntukkan kepada pelabur awam yang lazimnya hanya sekitar lima hingga 10 peratus daripada keseluruhan tawaran.

“Baki saham pula diperuntukkan kepada pelabur institusi, pelabur Bumiputera melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta pelabur terpilih.

“Sebagai contoh, daripada 19,834 permohonan bagi IPO SUM Technology, hanya kira-kira 3,049 pemohon berjaya secara keseluruhan, manakala SRKK AI menerima 29,428 permohonan yang bersaing untuk mendapatkan kira-kira 14.2 juta saham,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, keadaan itu menunjukkan jumlah saham yang terhad boleh menghasilkan kadar lebihan langganan sangat tinggi, meskipun permintaan berkenaan belum tentu mencerminkan penilaian mendalam terhadap asas perniagaan syarikat.

“Penilaian lebih menyeluruh sepatutnya turut mengambil kira kualiti penyertaan pelabur institusi, identiti pelabur utama atau pelabur teras (cornerstone investors) serta komitmen mereka terhadap syarikat selepas penyenaraian,” katanya.

Selain itu, antara faktor yang mendorong pelabur runcit memburu IPO ialah potensi keuntungan pada hari pertama dagangan atau listing gain.

Stratus Global meningkat daripada harga IPO 80 sen kepada RM2.11 pada hari pertama, bersamaan kenaikan 163.75 peratus.

SkyeChip pula melonjak daripada 88 sen kepada RM2.21, iaitu peningkatan 151.14 peratus, malah pernah dibuka pada RM3.50.

SRKK AI turut meningkat daripada 32 sen kepada 61 sen, manakala Kee Ming mencatatkan kenaikan daripada 38 sen kepada 87 sen.

Menurut Aimi Zulhazmi, prestasi sedemikian berpotensi membentuk persepsi bahawa penyertaan dalam IPO mampu memberikan keuntungan segera, sekali gus mendorong lebih ramai pelabur menyertai tawaran baharu tanpa meneliti prospek perniagaan secara mendalam.

“Fenomena itu berkait rapat dengan kecenderungan psikologi pelabur yang dikenali sebagai recency bias, iaitu membuat keputusan berdasarkan prestasi terkini dan menganggap corak sama akan berulang.

“Selain itu, harga IPO yang rendah serta naratif perniagaan popular seperti kecerdasan buatan (AI), pusat data, semikonduktor dan penjagaan kesihatan turut menjadi tarikan kepada pelabur runcit.

“Sebaliknya, penelitian terhadap keuntungan, margin operasi, pelanggan utama dan kemampuan menjana aliran tunai mungkin menjadi pertimbangan kedua bagi sebahagian pelabur yang lebih tertumpu kepada potensi kenaikan harga,” katanya.

Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, peningkatan aktiviti IPO menunjukkan semakin banyak syarikat bersedia mendapatkan pembiayaan melalui pasaran modal, manakala pelabur pula semakin terbuka untuk menyertai penawaran saham baharu.

Bagaimanapun, permintaan terhadap saham IPO perlu dibezakan daripada keyakinan terhadap prospek perniagaan syarikat dalam jangka panjang.

“Data menunjukkan Bursa Malaysia mencatatkan 60 IPO pada 2025 berbanding 55 pada 2024, sekali gus menjadikan Malaysia pasaran IPO paling aktif di ASEAN dari segi bilangan penyenaraian.

“Namun, jumlah dana yang dikumpulkan melalui IPO pada 2025 menurun kepada RM6 bilion berbanding RM7.4 bilion pada 2024, menunjukkan peningkatan bilangan penyenaraian tidak semestinya seiring dengan pertambahan nilai modal yang dihimpunkan,” katanya.

Bagi 2026, sebanyak 47 IPO disenaraikan dalam tempoh sembilan bulan pertama dengan jumlah dana dikumpulkan sekitar RM6.08 bilion, meningkat 39.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini